suria

Pelajar cemerlang layak duduki SPM

Gambar hiasan peperiksaan SPM.

PARIT BUNTAR: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang di sini, Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu hadapan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengesahkan perkara itu menerusi status akaun Facebooknya semalam selepas kisah pelajar itu yang menghadapi dilema menduduki peperiksaan SPM kerana tidak mempunyai kad pengenalan itu dilaporkan media.

Maszlee berkata perkara itu telah disiasat dan Nurul Syuhada telah pun dibenarkan untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan kepada Nurul Syuhada, teruskan berjuang dan semoga berjaya!, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) akan pastikan hal ini tidak berulang lagi selari dengan pelaksanaan ‘zero reject policy' (dasar penolakan sifar) yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan, Nurul Syuhada menghadapi dilema untuk menduduki peperiksaan SPM kerana tiada kad pengenalan sejak berusia 12 tahun dan pelajar berasal dari Kemboja itu yang diahirkan di negara ini dijaga ibu bapa angkat warga tempatan sejak kecil manakala ibu bapa kandungnya sudah lama pulang ke negara asal.

Sementara itu keluarga angkat pelajar itu Ibrahim Idris, 53, berkata pihaknya memohon maaf secara terbuka kepada pentadbiran SMK Panglima Bukit Gantang di atas kesilapan maklumat diberikan berhubung isu pelajar terbabit tidak boleh menduduki peperiksaan utama itu, minggu depan.

Ibrahim berkata permohonan maaf itu dikemukakan secara bersemuka kepada Pengetua sekolah terbabit, Mohd Saad Hashim bersama barisan pentadbirannya dalam satu pertemuan khas di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya kesal isu Nurul Syuhada tidak dibenarkan menduduki SPM kerana ketiadaan kad pengenalan dibangkitkan semata-mata untuk mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mempercepatkan permohonan kelulusan taraf kewarganegaraan yang dipohon sejak 2013.

"Pada hakikatnya, kami sudah dimaklumkan oleh pentadbiran sekolah bahawa Nurul Syuhada sebenarnya layak menduduki peperiksaan itu sejak bulan Mac lalu.

"Kami mewakili keluarga angkat Nurul Syuhada sekali lagi memohon maaf kepada pentadbiran SMK Panglima Bukit Gantang kerana kenyataan media kami keluarkan semalam (Jumaat) menjejaskan imej dan reputasi sekolah termasuk pengetua yang sebenarnya sangat komited membantu anak angkat kami dari awal," katanya.

Ibrahim berkata kesan kekhilafan pihaknya mengeluarkan kenyataan media berhubung isu Nurul Syuhada semalam menyebabkan pelajar cemerlang itu kini berada dalam keadaan tertekan.

"Kami berharap permohonan maaf ini dapat menjernihkan segala kekeruhan yang berlaku di samping memastikan nama baik SMK Panglima Bukit Gantang terus terpelihara," katanya.- Bernama

Pelajar cemerlang, SPM

Artikel Lain