suria

“Jangan ulangi kesilapan saya” - Lelaki ini trauma melancong ke Korea Selatan ‘balik hari’

Rakan Fahmi, Fais dan enam pelancong lain tidak mengalami masalah dengan pihak imigresen.

PETALING JAYA: Gara-gara tidak menyatakan jenis pekerjaan pada kad ketibaan ketika melancong ke Korea Selatan, seorang pemuda mendakwa terpaksa dihantar pulang ke Malaysia serta-merta tanpa diberikan peluang untuk mempertahankan diri.

Pemandu pelancong sambilan, Fahmi Sudirwan, 32, mengakui kejadian berpunca daripada kesilapan diri sendiri dan pengalaman itu tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Katanya, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 4 Oktober lalu, dia telah dipanggil oleh pihak imigresen Korea untuk disiasat bagi mengetahui tentang latar belakang pekerjaannya.

"Ketika dipanggil tu saya rasa berdebar dan tidak puas hati kerana tidak boleh mempertahankan diri. Hanya pegawai imigresen yang boleh soal saya, saya tidak boleh tanya soalan kepada mereka.

"Saya sampai lapangan terbang pada pukul 8 pagi, selepas disiasat beberapa jam, saya dihantar balik pukul 4.30 petang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Rakan Fahmi, Fais Taib (kiri) tidak ditahan pihak imigresen dan dibenarkan untuk meneruskan percutian bersama enam yang lain.

Posting Fahmi mengenai pengalamannya yang dimuat naik ke laman 'Facebook Road To Korea' pada Ahad itu tular dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Jelas Fahmi, dia tidak menyatakan jenis pekerjaannya di ruang kad ketibaan tersebut kerana menyangka ia tidak akan mendatangkan masalah.

Fahmi yang bertugas sebagai pembantu makmal sepenuh masa di Pulau Pinang itu berkata, sebelum ini dia tidak pernah mengalami insiden seperti itu ketika berkunjung ke Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina dan Vietnam.

"Saya rasa mungkin apa yang berlaku berkaitan dengan isu lambakan pekerja asing di negara tersebut.

"Saya harap rakyat kita yang nak ke sana jangan ulangi kesilapan saya atau terimalah nasib melancong ke negara 'K-Pop' balik-hari," ujarnya dalam nada kesal.

Fahmi mengakui insiden tersebut berpunca daripada kesilapan diri sendiri.

Dalam lawatan tersebut, Fahmi yang pertama kali menjejakkan kaki di Korea sebenarnya membantu rakan baiknya membawa seramai enam pelancong Malaysia untuk menikmati keindahan musim luruh di negara itu.

Fahmi turut berasa terkilan apabila wang tunai sekitar 1.7 juta won (RM6,235) untuk bayaran hotel dan lapan kad pengangkutan awam T Money tidak dibenarkan untuk diserahkan kepada rakannya oleh pihak imigresen.

"Mereka langsung tidak membenarkan saya keluar sekejap untuk serahkan duit kepada rakan saya.

"Sudahnya, saya dihantar pulang sambil diiringi pegawai imigresen sehingga masuk semula ke perut kapal terbang.

"Mujurlah kawan saya memang ada bawa matawang dollar Amerika dan wang tambahan untuk sebarang kecemasan," ujarnya.

Korea, imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain