Pensyarah dicop kolot nasihat pelajar tunang sebelum sambung 'master', kahwin sebelum buat PhD jika tak mahu jadi andartu - Semasa | mStar

Pensyarah dicop kolot nasihat pelajar tunang sebelum sambung 'master', kahwin sebelum buat PhD jika tak mahu jadi andartu

PETALING JAYA: Satu paparan skrin pesanan mesej di aplikasi Whatsapp berkaitan pendapat seorang pensyarah yang mendakwa matlamat utama pelajar menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) adalah kerana ingin menjadi pengajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi bualan hangat netizen.

Mesej tersebut yang tular di Twitter turut mendapat perhatian doktor popular, Dr Nur Amalina Che Bakri yang tidak bersetuju dengan pendapat itu.

Jelas Dr Amalina, dengan memiliki PhD, sesiapa sahaja boleh melakukan banyak perkara menarik di dunia.

"Bukan jadi pensyarah sahaja. Jangan biarkan pemikiran cetek meyakinkan anda bahawa impian anda terlalu besar.

"Hanya pemikiran cetek yang ingin jadi penghalang seseorang," tulisnya di Twitter.

Foto - Instagram Dr Amalina. 

Malah Dr Amalina turut bersimpati dengan generasi muda hari ini sekiranya kenyataan tersebut dikeluarkan seseorang yang bergelar pensyarah.

"Jika ini (kenyataan) sebenarnya datang dari seorang pensyarah, saya berasa kasihan dengan masa depan generasi muda kita," katanya.

Mesej yang ditulis seorang mahasiswa mengenai pendapat pensyarahnya dan dikongsi pengguna Twitter @AnnaSoeraya diulang kicau sebanyak 3,151 kali di platform media sosial itu.

Turut menjadi perdebatan netizen adalah pendapat pensyarah tersebut mengenai pelajar wanita yang berniat mahu menyambung pengajian PhD haruslah berumahtangga terlebih dahulu dan jika tidak, mereka 'tak laku' kerana sudah berstatus andartu (anak dara tua).

Posting mengenai pendapat pensyarah tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen.

Rata-rata netizen mengecam pendapat pensyarah tersebut yang disifatkan sebagai 'kolot'.

@Adbieaa berkata:"Apa benda dengan mentaliti macam mana? For sure I can't adapt. Jodoh ajal semua tu Allah dah tetapkan bila. Lagipun sukahati la perempuan tu nak kahwin bila sekali pun ataupun tak nak kahwin sekalipun. Dia ada hak untuk tentukan life dia bukan makcik makcik bawang."

Malah ada netizen menyangkal kenyataan tersebut yang menganggap golongan wanita berpendidikan tinggi bukan tidak mahu kahwin kerana 'tidak laku' tetapi disebabkan banyak faktor lain.

@itseddritory berkata:"Zaman bila punya pemikiran ni? seru jodoh kahwin dah sampai, time degree pun kahwin. Tapi kalau dah memang takde jodoh takkan kahwin, apa masalah? Kenapa perlu skeptical. I cannot laa. Pergi ******* andartu ke tak janji pandai and boleh tanggung diri sendiri. Sudah. Its nothing to do with belajar sampai mana pun."

Seorang pengguna Twitter @jedi_of menganggap pemikiran pensyarah tersebut sebagai amat berbahaya.

"Bahayanya pemikiran lecturer ni. Dia tahu tak dia boleh brainwash pelajar dan pelajar akan influence kawan sebaya atau ada tanggapan pada orang sekeliling?

"Fokus lecturer tu hanya pada perempuan pula tu. Kenapa tak mention lelaki yang sambung belajar dan tak kahwin juga ya?," soalnya.

Dr Amalina , pensyarah , PhD , andartu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain