suria

Penganggur didakwa masukkan anak saudara dalam mesin basuh

KUALA KUBU BHARU: Seorang penganggur yang videonya tular  kerana memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang di sini minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selasa.

Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha  Abas yang bertindak sebagai Majistret.

Lelaki itu didakwa memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun  ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan mangsa di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11  and 11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada 12.30 tengah malam, 2 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairulazhwa Yusrie Mohamad mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Irwan yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan terhadap jaminan.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada ahli kelurganya yang hadir ke mahkamah untuk diikat jamin dan menetapkan 9 Nov bagi  sebutan semula kes.

Pada 3 Oktober lepas, pihak polis menahan tertuduh susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang selepas video berdurasi satu minit berkaitan insiden itu tular di Facebook.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi 2 Okt lepas yang tular di Facebook memaparkan detik cemas kanak-kanak yang terperangkap di dalam mesin basuh itu diselamatkan oleh orang awam.- Bernama

Bapa saudara, mesin basuh

Artikel Lain