suria

Jenazah Nazrin dibawa ke PPUM untuk bedah siasat kali kedua

PETALING JAYA: Kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan telah digali semula untuk bedah siasat kali kedua.

Pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari Isnin, beberapa polis pengiring dilihat meninggalkan Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, mengiring sebuah van jenazah, dipercayai membawa jenazah Nazrin.

Jenazah tersebut dijangka dibawa ke Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana bedah siasat kali kedua akan dijalankan.

Terdahulu, beberapa kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Mufti Selangor turut dilihat meninggalkan tanah perkuburan tersebut.

Abang Nazrin, Dr Malik Hassan termasuk peguam kepada isteri Nazrin turut dilihat meninggalkan kawasan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, proses penggalian semula berjalan lancar.

"Bedah siasat buat kali kedua akan dijalankan, tetapi kita tidak lagi bila ia akan selesai atau bila jenazah itu akan dikebumikan semula," katanya.

Pasukan polis dilihat mengawal pintu masuk ke tanah perkuburan itu, manakala beberapa individu lain berada di dalam kawasan berkenaan seawal pukul 8 pagi.

Dr Malek membuat permohonan untuk kubur jenazah Nazrin digali semula bagi bedah siasat kali kedua, dan beliau mengatakan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada bedah siasat pertama.

Nazrin, yang maut dalam kebakaran di kediamannya pada 14 Jun lalu, ditemui dengan 30 peratus kesan lecur pada badannya, di tingkat atas rumah dua tingkatnya.

Polis telah mengklasifikasi semula kes itu sebagai bunuh berikutan siasatan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beberapa individu direman dan dibebaskan dalam siasatan kes pembunuhan itu, termasuk isteri Nazrin dan bekas suaminya, pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan isterinya, serta dua anak tiri.

Nazrin Hassan, Dr Malek Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain