suria

“Meski tidak sehebat Pogba” Anwar turun beraksi di padang

Anwar membuat tendangan penalti pada Pertandingan Bola Sepak Terbuka Tujuh Sebelah Piala YB Ravi di Padang Merdeka, Port Dickson, petang Ahad. Foto Bernama

PETALING JAYA: Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Sabtu ini, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin bersemangat menguatkan staminanya untuk berkempen.

Jika sebelum ini Anwar dilihat bersenam, Presiden PKR itu kali ini mencuri tumpuan menyerlahkan bakatnya dalam sukan bola sepak.

Dengan gaya bersahaja, beliau dirakamkan beraksi membuat tendangan penalti di padang sempena kehadiran beliau pada Pertandingan Bola Sepak Terbuka Tujuh Sebelah Piala YB Ravi di Padang Merdeka, Port Dickson, petang Ahad.

Menerusi gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram milik Anwar pada pagi Isnin, beliau secara berseloroh mengaitkan aksinya dengan bintang sensasi Perancis dan Manchester United, Paul Pogba.

“Petang semalam saya bersama anak-anak Port Dickson dalam Pertandingan Bola Sepak Piala YB Ravi 2018. 

“Kagum dengan corak permainan masing-masing, selain saya turut mempertontonkan bakat yang ada, meski tidak sehebat dan segigih Pogba,” kata Anwar di Instagramnya.

Pada Rabu lalu, Anwar dalam kesibukan berkempen sempena PRK Port Dickson, sempat meluangkan masa beriadah di Pantai Teluk Kemang.

“Pagi ini luang masa untuk berlari-lari anak di sekitar pantai Teluk Kemang. Meski terkekang dengan jadual padat kempen, kesihatan dan stamina jangan diremehkan. 

“Ternyata permulaan yang menyegarkan untuk hari ini,” katanya dalam catatan di Instagram.

Anwar, yang telah menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, ditentang enam calon lain bagi PRK Port Dickson yang bakal berlangsung pada 13 Oktober ini.

Pilihan raya itu diadakan selepas penyandang dari PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. 

Anwar Ibrahim, Paul Pogba

Artikel Sebelum

Artikel Lain