suria

Jejaka P. Pinang menyamar orang Yaman mohon maaf, tak niat persenda pakcik teksi ‘speaking English’

Ibrohim memohon maaf kepada orang ramai yang kurang selesa dengan video dimuatnaiknya.

PETALING JAYA: Memiliki badan bersaiz besar dan wajah persis jejaka Arab, pemuda dari Pulau Pinang ini kerap kali disangka pelancong asing.

Kekeliruan ini terus berlaku ketika Ibrohim Abdullah menaiki sebuah teksi dari terminal SkyCab Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Langkawi, Kedah pada Rabu lalu.

Menurut jejaka berusia 26 tahun itu, pemandu teksi tersebut bertutur dalam bahasa Inggeris kerana menyangka dia adalah pelancong dari negara Timur Tengah.

"Pakcik tu kata lets go to the car tapi saya jawab ‘baik pak cik’. Agaknya mungkin dia tak dengar apa saya kata, jadi dia terus cakap bahasa Inggeris dengan saya sepanjang perjalanan itu.

"Ini bukan perkara baharu bagi saya kerana saya kerap kali disangka pelancong asing sebelum ini. Orang ingat saya dari Arab tapi terkejut bila saya jawab pertanyaan mereka dalam bahasa Melayu.

"Mungkin saiz badan dan wajah saya seperti orang Arab membuatkan orang ramai fikir saya pelancong asing. Hakikatnya saya sebenarnya orang Malaysia, lahir di Pulau Pinang," kata Ibrohim.

Seronok melihat kesungguhan pemandu teksi tersebut bertutur dalam bahasa Inggeris dengan penuh yakin, Ibrohim merakam video perbualan mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan.

"Tengok gaya pakcik tu speaking English penuh confident, tak takut, rasa comel pula. Saya jadi seronok dan rakam (video) perbualan kami lima minit selepas menaiki teksi itu.

Posting Ibrohim menjadi tular di media sosial. 

"Saya memang suka buat video, apa sahaja video akan dikongsi bersama rakan-rakan. Saya nak tunjuk kepada mereka mengenai keberanian pakcik itu bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun sudah berumur," katanya.

Ibrohim berkata dia turut memuat naik video tersebut di Twitter dan Instagram miliknya.

Tanpa diduga video tersebut tular di media sosial dan netizen menegur tindakan Ibrohim yang dilihat seakan-akan mempersendakan pemandu teksi berkenaan.

Video tersebut mendapat jumlah tontonan sebanyak 241,000 kali di Twitter dan turut diulang kicau 22,000 kali.

Namun Ibrohim menjelaskan dia tiada sebarang niat jahat terhadap pakcik teksi tersebut.

Sebaliknya, anak kedua daripada tiga beradik ini berkata dia tidak sampai hati mendedahkan identiti sebenarnya kepada lelaki tersebut selepas melihat kesungguhannya bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Bila tengok keyakinan pakcik teksi tu saya jadi tak sampai hati nak cakap saya orang Malaysia. Saya menyamar jadi orang Yaman.

"Saya terpaksa berbuat demikian kerana takut pakcik tu terasa hati bila saya beritahu dia perkara sebenar.

Ibrohim kagum dengan keberanian pak cik teksi ini bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Saya pernah berdepan situasi sama bila ada seorang abang teksi ni cakap bahasa Inggeris dengan saya tapi saya jawab dalam bahasa Melayu, dia jadi malu.

"Sepanjang perjalanan teksi senyap... sebab tu saya layankan sahaja pakcik tu. Lagipun seronok dengar dia cakap bahasa Inggeris dengan yakin dan berani," katanya.

Pada masa sama, Ibrohim menganggap tindakan itu sebagai gurauan antara 'cucu dengan seorang atok'.

"Bila tengok pakcik tu saya terus teringat arwah tok saya. Kami memang suka buat lawak. Jadi saya anggap benda ini sebagai satu gurauan tidak lebih dari itu," katanya.

Sementara itu, Ibrohim turut menjadikan teguran dan kritikan netizen yang kurang selesa dengan tindakannya sebagai panduan untuk lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang video selepas ini.

"Saya tak sangka dalam banyak-banyak video yang saya buat tak sangka video ni yang viral.

"Saya minta maaf kepada pakcik teksi tersebut dan orang ramai yang tersinggung dengan tindakan saya. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

teksi, English

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain