Isa yakin isu lama tak jejas peluang menang di PD - Semasa | mStar

Isa yakin isu lama tak jejas peluang menang di PD

Isa ketika berkempen di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson malam Sabtu. - fotoBERNAMA

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, yakin 'isu lama' yang terpalit pada dirinya tidak akan menjejaskan potensinya untuk meraih sokongan sekaligus memenangi kerusi berkenaan.

Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata selain dirinya, terdapat juga calon lain yang turut bertanding pada PRK itu yang mempunyai isu.

"Saya beranggapan isu saya itu hanyalah isu mainan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, sekadar untuk mengembar-gemburkan Felda.

Terserah kepada pengundi Port Dickson untuk menilai kerana mereka lebih mengenali saya," katanya kepada pemberita merujuk kepada isu pemindahan hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, Disember lepas.

Beliau yang ditemui pada sesi kempen di Kampung Bagan Pinang, di sini, malam ini bagaimana pun berharap pengundi dapat memberikannya peluang mewakili mereka pada PRK kali ini.

Mengulas mengenai laporan sebuah media yang menyatakan bahawa beliau akan kembali kepada Umno selepas PRK berkenaan tamat, bekas pengerusi Felda itu berkata berita yang disiarkan itu tidak tepat.

“Headline berita itu lain daripada contentnya, saya kata… fokus saya hanya untuk menang PRK ini,” katanya.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Tarikh mengundi PRK itu ialah 13 Oktober ini, manakala pengundian awal 9 Oktober. - BERNAMA

Isa Samad , PRK Port Dickson

Artikel Berkaitan

Isa Samad keluar Umno

Artikel Lain