suria

Isa Samad keluar Umno

Isa Samad.

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan beliau telah keluar Umno sejak dua hari lalu.

Menurutnya, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Rabu lalu kepada pucuk pimpinan.

Bekas Ketua Umno Bahagian Telok Kemang itu berkata, beliau bertindak demikian kerana mahu bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Port Dickson.

Katanya, disebabkan Umno memboikot PRK tersebut, beliau tahu bahawa terdapat kemungkinan akan dipecat dan dilucutkan keahliannya jika bertanding.

"Apabila saya telah serahkan surat peletakan jawatan dua hari lalu, maka saya bukan lagi ahli Umno, jadi saya tidak perlu bertanya sesiapa untuk bertanding," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis malam.

Bekas Ahli Parlimen Jempol itu mengumumkan akan bertanding dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Sementara itu, Isa berkata, beliau bertanding untuk menang dalam PRK tersebut dan yakin pengundi di Port Dickson akan menyokongnya.

"Saya telah berkhidmat untuk masyarakat di sini lebih 40 tahun dan orang Port Dickson kenal dan tahu perkhidmatan saya.

"Saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada saya sesuai untuk menjadi ahli Parlimen," katanya.

Katanya, pucuk pimpinan Umno tidak pernah mendapatkan pandangan beliau yang merupakan 'orang lama' di Parlimen tersebut tentang PRK itu atau calon yang layak diletakkan parti berkenaan.

Disebabkan itu, beliau bertindak meninggalkan parti tersebut dan meneruskan hasrat bertanding pada PRK ini. - Sinar Harian

Isa Samad, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Lain