Mungkin saya silap - Najib - Semasa | mStar

Mungkin saya silap - Najib

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan kekesalannya apabila tidak membuat kenyataan akhbar khusus sebaik cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada tahun 2015 akan menyebabkan harga semua kereta turun.

Najib berkata, mungkin beliau silap kerana tidak bertindak seperti yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menghebohkan bahawa lima jenama kereta turut harga dengan (perlaksanaan) cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Namun, menurutnya, tidak seperti perlaksanaan GST, ada juga kereta yang naik harga dengan SST tetapi tidak disebut dalam kenyataannya.

“Selepas PRU14, saya ada tonton klip video Datuk Ahmad Maslan di mana beliau berkata bahawa harga akan turun dengan GST,” katanya menerusi perkongsiannya di laman sosial Facebook peribadinya.

“Sebenarnya, Datuk Ahmad betul kerana memang ada barang yang alami penurunan harga apabila GST dilaksanakan seperti kereta, alat ganti, tayar, minyak pelincir, perabot, alat-alat elektronik dan lain-lain. (Barang-barang ini yang telah dinaikkan harga semula berbanding GST apabila SST dilaksanakan dua minggu dahulu.)

Najib berkata, Inilah yang sebenarnya dimaksudkan dan dijelaskan oleh Ahmad Maslan iaitu bukan semua barang.

Menurutnya, belia juga mendapati sesi temubual televisyen mengenai GST dengan Datuk Ahmad Maslan itu berdurasi 1 jam.

“Tetapi sesi TV (televisyen) beliau yang berdurasi 1 jam itu disunting menjadi 15 saat sahaja oleh pakar propaganda Pakatan yang mahu membina persepsi bahawa beliau kata semua barang akan turun harga semata-mata untuk memburukkan beliau dan kerajaan BN.

“Oleh kerana klip 15 saat ini sangat tular, maka ramai yang telah tertipu dan tidak mendengar penjelasan sebenar atau penjelasan penuh wawancara 1 jam itu,” katanya.

Najib menegaskan situasi berkenaan sememangnya sangat tidak adil tetapi inilah antara cara PH menggunakan propaganda yang jelas kurang jujur.

Najib turut melampirkan artikel laporan-laporan berita mengenai setiap jenama kereta yang turun harga dengan GST pada tahun 2015 di catatannya itu dan berharap agar pengguna Facebook akan dapat membaca laporan berkenaan.

“Selain harga turun apabila GST menggantikan SST pada tahun 2015, kerajaan BN di bawah saya juga memansuhkan cukai impot untuk kereta dari Jepun dan memberi insentif EEV yang banyak mengurangkan harga kereta yang jimat petrol,” katanya.

Pada 11 September lalu Guan Eng ketika mengumumkan lima jenama kenderaan tersebut terdiri daripada model Perodua, Honda, Toyota, BMW, dan Volkswagen.

Beberapa jenama kereta termasuk dari keluaran luar negara mencatatkan penurunan harga sehingga RM3,000 selepas pelaksanaan SST.-SinarHarian


Najib , GST , Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain