suria

Firma guaman London hantar surat amaran kepada kedai jual buku Jho Low

Gambar daripada Bookurve.

PETALING JAYA: Kedai buku di seluruh dunia menerima surat ugutan daripada peguam berpengkalan di London yang mewakili Low Taek Jho.

Surat itu dikeluarkan bagi menghalang pengedaran buku yang menceritakan tentang skandal dan tuduhan mengenai pembabitan ahli perniagaan itu dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akhbar British, The Guardian melaporkan Jho Low cuba menyekat buku Billion Dollar Whale tulisan wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope dan Tom Wright daripada dibeli oleh orang awam.

Surat tersebut dihantar ke kedai buku di Britain dan seluruh dunia dengan pasukan peguam menyatakan, keputusan sesetengah pihak untuk menerbitkan sinopsis buku itu adalah fitnah bertulis ke atas Jho Low dan ia boleh didakwa.

The Guardian melaporkan, firma guaman Schillings menulis kepada seorang penjual buku dan berkata, ia adalah "mengejutkan" bahawa kedai itu telah menerbitkan penerangan buku tersebut di laman web mereka.

Pihak peguam turut memberi amaran bahawa "bahan fitnah yang serius mungkin terkandung di dalam buku itu".

Surat tersebut turut menuntut bayaran balik kos undang-undang sebagai pampasan kepada penerbitan buku berkaitan Jho Low itu.

Firma itu juga memberitahu penjual buku tersebut bahawa jika mereka tidak menerima respons, maka mereka tidak mempunyai pilihan selain memulakan prosiding undang-undang terhadap kedai buku berkenaan. - The Star

Jho Low, Billion Dollar Whale

Artikel Berikut

Artikel Lain