"Pemilik barang disita sila tampil buat tuntutan" - Semasa | mStar

"Pemilik barang disita sila tampil buat tuntutan"

Polis membawa barang-barang yang dirampas di sebuha kediaman bekas perdana menteri 18 Mei lalu.

PETALING JAYA: Bermula hari ini, pemilik pelbagai barangan yang disita di lima premis melibatkan siasatan kes 1MDB boleh tampil untuk mengemukakan tuntutan ke atas item serta wang tunai yang nilainya mencecah RM114 juta.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, selepas tiada pemilik yang tampil sebelum ini, pihaknya telah mengeluarkan notis berhubung perkara itu.

"Siasatan terhadap barangan itu dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

"Pihak Amla yang menjalankan siasatan kes ini belum menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak yang terlibat walaupun beberapa kenyataan akhbar berkaitan isu wang tunai dibangkitkan.

"Lantaran itu, pihak Amla telah menyerahkan notis (Khamis) untuk mereka membuat tuntutan supaya hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasatan berkaitan pemilikan harta-harta yang telah dinyatakan.

"Kami jangkakan dalam tempoh dua, tiga hari atau minggu mereka akan hadir," jelasnya pada sidang media khas berkaitan perkembangan siasatan kes 1MDB pada Khamis.

Jelas Noor Rashid, pihak Amla mempunyai hak untuk menyita barang-barang yang disita berdasarkan tempoh peruntukan undang-undang selama setahun bagi menjalankan siasatan ke atas harta-harta alih dan tidak alih.

"Penyitaan ke atas barang-barang tersebut adalah berdasarkan wujudnya alasan yang munasabah dan barang yang disita itu disyaki diperoleh hasil daripada  wang haram kes IMDB.

"Oleh itu semua barangan disita masih diperlukan oleh pihak polis untuk melengkapkan siasatan," tambahnya.

Pada Mei lalu, pihak polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) Bukit Aman telah menyerbu premis yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan merampas wang tunai berjumlah RM114 juta, 566 unit barang kemas, 566 unit beg tangan,  437 jam tangan dan 234 cermin mata pelbagai jenama.

Dalam pada itu, Noor Rashid menegaskan pihaknya yakin dapat melengkapkan siasatan kes 1MDB secepat mungkin dalam tempoh setahun yang ditetapkan.

"Kes agak rumit kerana melibatkan beberapa negara luar dan kita memerlukan masa.

"Beberapa negara terlibat seperti Singapura, Arab Saudi, Switzerland, Amerika Syarikat dan kita perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Kami harap dapat bekerjasama daripada negara-negara tersebut," tambahnya.

IMDB , barang rampasan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain