suria

14,000 pemegang lesen terbang diberi sebulan untuk tampil, jika tidak...

PUTRAJAYA: Seramai 14,000 pemegang 'lesen terbang' di seluruh negara diberi tempoh sebulan bermula hari ini untuk menyerahkan lesen masing-masing di mana-mana Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau dijejaki pihak berkuasa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata maklumat mengenai lesen terbang terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 September lalu.

"JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti pemegang lesen terbang, pegawai JPJ dan pejabat cawangan JPJ yang mengeluarkan lesen berkenaan,”  katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, Khamis.

Loke yang tidak menolak kemungkinan ada lagi petugas JPJ yang akan ditahan SPRM selepas ini, berkata kesemua 12 yang ditahan sebelum ini dikenakan tindakan tahan kerja walaupun belum  menghadapi pertuduhan di mahkamah.

"Tindakan tahan kerja  adalah kerana  kesalahan yang mereka lakukan serius dan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain," katanya.

Kesemua 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan melibatkan seorang timbalan pengarah gred 44, masing-masing dua penolong pegawai penguat kuasa KP29 dan ketua pembantu penguat kuasa KP22 serta enam pembantu penguat kuasa KP19 dan seorang pembantu tadbir N19.

Menurut Loke, modus operandi mengeluarkan lesen terbang ialah menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sedangkan pemohon berkenaan tidak pernah memiliki lesen memandu di luar negara mahupun berkunjung ke luar negara.

"Lesen terbang berkenaan dijual di antara RM2,000 hingga RM3,500 melalui iklan di laman sosial. Pembeli hanya perlu membuat bayaran dan lesen akan dipos ke rumah," katanya.

Menurut Loke, terdapat  warga asing yang memiliki lesen terbang dengan sebahagian besarnya melibatkan warga China.

Sebagai langkah penambahbaikan dan membendung gejala lesen terbang pada masa akan datang, beliau berkata JPJ akan memperhalusi kaedah ‘conversion' (penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia) dan menimbang  kaedah mengiktiraf lesen memandu asing.  -- Bernama 


lesen terbang, JPJ, Loke

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain