suria

Najib mahu dana Umno dipulangkan

Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu polis memulangkan semula wang tunai yang dirampas di beberapa premis yang dikaitkan dengannya ketika memimpin parti politik kerana ia adalah dana Umno.

Bekas perdana menteri itu terus mempertahankan isu dana parti politik berkenaan dengan mengatakan, presiden Umno ditugaskan untuk mengendali semua aset parti termasuk menerima sumbangan politik daripada ahli perniagaan, individu, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau turut menjelaskan bahawa presiden Umno juga ditugaskan untuk mengalih dan membuat pembayaran untuk keperluan parti semasa pilihan raya.

Malah katanya, semua hak tersebut ditulis di dalam perlembagaan Umno dan menjadi satu kelaziman sejak zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada masa pilihan raya umum, kebanyakan sumbangan daripada ahli perniagaan dan individu adalah dalam bentuk wang tunai dan juga diagihkan secara tunai kepada seluruh 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam posting di halaman Facebooknya, Ahad.

Beliau berkata, wang tunai yang diterima disimpan di bilik kebal dan peti besi di Pejabat Perdana Menteri dan Seri Perdana, bagi tujuan operasi politik dan pilihan raya.

Selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Mei lalu, kata Najib, wang tunai yang dikumpul itu telah dipindahkan oleh pegawai-pegawai ke satu pangsapuri di Pavilion, Kuala Lumpur sebagai langkah sementera.

“Sebelum kita sempat membuat keputusan bagaimana untuk mengendalikan wang tunai ini dan sementara menunggu keputusan pemilihan parti siapa akan mengambil alih jawatan presiden, pangsapuri Kuala Lumpur ini telah diserbu PDRM dan wang tunai ini telah disita.

“Wang ini ialah wang parti. Oleh itu, Umno telah menyediakan barisan peguam untuk berunding dengan pihak kuasa untuk menuntut kembali wang ini,” katanya.

Beliau menambah, sebahagian besar wang yang disita adalah dalam Ringgit, manakala matawang asing merupakan jumlah yang kecil.

“Walaupun saya pernah mengulas sedikit sebanyak tentang isu ini kepada beberapa media tempatan, saya pilih untuk membuat penjelasan dengan lebih panjang lebar sekarang kerana walaupun banyak usaha dan rundingan telah dilakukan tetapi PDRM masih tidak mahu kembalikan wang ini kepada parti.

“Ia telah melangkaui tempoh tiga bulan mengikut undang-undang untuk dikembalikan jika tiada dakwaan dibuat mengenai aset yang disita,” katanya.

Pada Julai lalu, dilaporkan Umno melantik firma guaman Tetuan Scivetti & Associates yang akan mewakili  parti itu bagi menuntut dana politik milik Umno berjumlah RM116.7 juta yang telah disita oleh polis.

Pada 18 Mei lalu, polis dilaporkan merampas sejumlah wang yang didakwa sebagai dana politik Umno bagi tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengurusan parti.

Wang tersebut dirampas ketika proses pertukaran kepimpinan baharu dalam Umno selepas diadakan pemilihan parti pada 30 Jun.

Najib Tun Razak, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain