suria

Allahyarham Abu Hassan teruja bergelar moyang

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar baru sahaja menerima cicit pertama pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos lalu.

Anak bongsu Allahyarham, Datin Hasnorhana Abu Hassan, 41, berkata, Allahyarham dilihat gembira apabila bergelar 'great grandfather' akhir bulan lalu.

"Ia merupakan anak kepada anak buah saya. Saya nampak arwah Tan Sri gembira dan hari-hari hantar gambar dan berulang-alik ke Ampang (menjenguk cicit)," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, Ahad.

Abu Hassan meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung jam 8.05 malam.

Sementara itu, Hasnorhana berkata, arwah tidak pernah mengalami sakit kronik sebelum ini, namun bapanya pernah menjalani rawatan 'bypass' kira-kira 20 tahun lalu.


"Cuma semalam ketika kejadian, arwah mengadu sakit belakang. Pada masa itu, Puan Sri tiada di rumah dan arwah hanya bersama dengan pembantu rumah.

"Pembantu telefon menantu yang tinggal berhampiran, sebelum di bawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia 8.05 malam akibat serangan jantung," katanya yang berada di Thailand ketika kejadian.

Beliau berkata, arwah tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum pemergiannya.

Dr Siti Hasmah turut hadir melawat jenazah Allahyarham Abu Hassan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

"Cuma akhir-akhir ini kita nampak arwah begitu sayang dan ambil berat hal cucu-cucunya dan selalu berhubung menerusi mesej di telefon bimbit secara kerap," katanya.

Allahyarham Abu Hassan, 78, meninggalkan balu, Puan Sri  Wan Noor Daud, 76 dan empat anak berusia antara 41 dan 54 tahun, selain 15 cucu.

Abu Hassan adalah menteri besar Selangor ke-12 dan memimpin negeri dari 6 Jun 1997 sehingga 9 Ogos 2000.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 1997.

Sebelum itu, Abu Hassan pernah menganggotai Kabinet bermula 1981 dengan dengan menjawat bebarapa jawatan antaranya Menteri Kebajikan Masyarakat, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Luar Negeri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau juga memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor pada tahun 2005 hingga kini.

Antara kenamaan yang hadir melawat jenazah Allahyarham adalah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.-SinarHarian




Abu Hassan, Selangor

Artikel Lain