suria

Pemilihan PKR: Anwar beri amaran...

SIBU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon-calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan pimpinan tertinggi parti itu supaya bertanding secara sihat dan dalam satu keluarga besar demi memperkukuh parti itu.

Pemilihan pimpinan tertinggi PKR, yang dijadual 22 September hingga 28 Oktober  ini di seluruh negara, akan menyaksikan pertandingan semua peringkat kecuali jawatan presiden yang dimenangi Annuar tanpa bertanding bulan lepas.

Beliau menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka supaya tidak bersikap kasar, bergaduh, mencerca dan memaki hamun semata-mata untuk menang.

“Pertandingan hendaklah (secara) sihat dalam keluarga besar. Kalau ada saya terima mana-mana laporan serius, saya tak peduli, you siapa (sama ada) you menang (atau) you kalah. Kita perlu selamatkan parti. Tiada kompromi," tegasnya semasa berucap pada majlis makan `Melangkah Ke Arah Kegemilangan Baru Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini Sabtu malam.

Anwar berkata, para perwakilan parti perlu memilih pemimpin terbaik dari kalangan calon yang disenarai bertanding.

Beliau turut mengesahkan terdapat tiga kerusi parlimen yang ditawarkan untuk beliau tandingi pada pilihan raya kecil dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkannya kembali ke Parlimen sebelum bulan Oktober tahun ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan nama kerusi-kerusi Parlimen itu dan kerusi mana yang akan ditandingi.

Terdahulu Pengerusi PKR Sarawak merangkap Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian berkata, sokongan rakyat negeri ini yang mahukan perubahan kerajaan telah membolehkan Pakatan Harapan berjaya memenangi 10 daripada 30 kerusi Parlimen di Sarawak dan kini bertambah kepada 12 kerusi berikutan kemasukan calon bebas.

Baru, yang juga Adun Ba’kelalan berkata, PH Sarawak perlu memperkukuhkan kedudukan di Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kira-kira tiga tahun lagi. - Bernama

Anwar, PKR

Artikel Lain