suria

Hilang 2 minggu, renjer bertahan guna 'ilmu hutan'

Mangsa yang masih dalam keadaan trauma dibawa ke Hospital Lipis ketika tiba dengan menaiki helikopter Unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford. - Bernama

LIPIS: Biarpun hilang hampir dua minggu di dalam hutan tebal di Hutan Simpan Yong, Taman Negara, Jerantut, renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ahmad Tarmizi Ahmad Japli (gambar), 30, ditemukan selamat hasil latihan ikhtiar hidup dijalaninya di jabatan itu.

Ketua Pengarah  Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata setiap anggotanya telah dibekalkan dengan ‘ilmu hutan' dan latihan ikhtiar hidup sebelum mereka melakukan penugasan di lapangan.

“Setiap anggota telah diberi latihan, apabila timbul situasi sesat di hutan, hanya tiga perkara yang kita sering pesan iaitu duduk di tempat berkenaan, atau back track, atau cari sungai.

“Itu yang dilakukan oleh Ahmad Tarmizi sehingga kita berjaya menemuinya dengan selamat semalam,” katanya dalam sidang media khas di sini, Ahad. 

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri, Pengarah  Perhilitan Pahang Ahmad Azhar Mohamed dan Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hasan.

Katanya Ahmad Tarmizi yang berkhidmat dengan Perhilitan Kelantan, sebelum ini pernah beberapa kali terlibat dalam mengumpulkan dan mengemas kini data Program  Kajian Harimau Kebangsaan Kali Pertama atau 1st National Tiger Survey di Hutan Simpan Belum dan Endau Rompin, namun kali pertama melakukannya di Taman Negara Jerantut.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata pihak jabatan juga akan memberikan cuti panjang kepada Ahmad Tarmizi untuk membolehkannya berehat dan memulihkan perasaan trauma sebelum kembali bertugas.

“Cuti tersebut bagi membolehkannya meluangkan masa bersama keluarga yang sebelum ini amat risau tentang soal keselamatannya sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu operasi mengeluarkan Ahmad Tarmizi dari kem pangkalan dua berjalan dengan lancar dengan menggunakan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pangkalan Udara Subang.

Penerbangan dilakukan oleh Kapten Liong Cheong Mang dan dibantu oleh pembantu juruterbang Penguasa Bomba Mohamad Muizz Md Pisar serta tiga anggota yang lain.

Helikopter jenis AW139 JBPM selamat mendarat di padang Sekolah Menengah Clifford pada pukul 2.05 petang.

Ahmad Tarmizi yang tidak dapat ditemu bual oleh media berikutan keadaan kesihatannya ,sempat memberitahu kepada seorang daripada anggota penyelamat yang terlibat Pegawai Bomba Kanan Fuaad Jamaluddin bahawa beliau gementar apabila bomba mengeluarkannya menggunakan teknik 'winching' iaitu  menaikkan ke dalam helikopter dengan menggunakan tali.

"Mangsa memberitahu merasa sedikit berdebar kerana tergantung di udara. Sepanjang perjalanan beliau tidak banyak berbual, mungkin keletihan, namun kelihatan sihat dan baik,” katanya. - Bernama

Perhilitan

Artikel Lain