Terkini: Maklumat produk kopi pracampur Green 35 palsu! - Semasa | mStar

Terkini: Maklumat produk kopi pracampur Green 35 palsu!

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati maklumat yang dicatatkan pada label produk kopi pracampur Green 35 yang menjadi tular adalah palsu.

KKM merujuk kepada isu yang tular menerusi media sosial berhubung kopi tersebut yang didakwa anti racun dan boleh mengubati pelbagai penyakit, di mana ia kononnya dibuktikan melalui demonstrasi dengan mencampurkan bahan peluntur ke dalam kopi pracampur itu sebelum diminum sebagai bukti keberkesanan produk kopi tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat juga laporan yang mengatakan individu yang meminum kopi pracampur Green 35  semasa sesi demontrasi sebegini telah mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital selepas beberapa jam meminum kopi berkenaan yang dicampur cecair peluntur.

"KKM memandang serius isu ini dan melarang pengusaha makanan  dan mana-mana pihak menjalankan pemasaran menggunakan bahan berbahaya seperti peluntur, racun dan seumpamanya dalam demonstrasi produk makanan.

"Mereka yang didapati mengiklankan produk makanan bagi tujuan jualan untuk memperdaya pembeli boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17, Akta Makanan 1983.

"KKM juga mendapati maklumat pengilang yang dinyatakan pada label produk tersebut adalah palsu, di samping tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta menyalahgunakan logo sistem jaminan keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

"Tindakan penguatkuasaan sedang diambil ke atas pihak terbabit," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut Dr Noor Hisham, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Pengguna dinasihatkan tidak meminum apa-apa bahan yang boleh memudaratkan kesihatan," ujarnya.

Sebelum ini mStar Online melaporkan peniaga minta pelanggan minum peluntur untuk membuktikan kopinya mujarab.

Artikel berkaitan: Peniaga minta pelanggan minum peluntur, nak buktikan kopinya mujarab

Kopi Green 35

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rambo Bentong gagal batal hukuman mati

Artikel Lain