suria

Menteri, timbalan perlu elak keluar kenyataan negatif - A.Kadir Jasin

KUALA LUMPUR: Barisan menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh memberi kesan negatif kepada negara, kerajaan dan rakyat, kata Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri Datuk A.Kadir Jasin.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Kadir berkata mereka perlu memikir sedalam-dalamnya kesan kenyataan mereka dan hanya mengeluarkan kenyataan apabila perlu sahaja.

"Hari ini kerajaan baharu, hanya (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sahaja yang ada pengalaman menjadi menteri manakala yang lain mungkin ada pengalaman sebagai ketua menteri atau menteri besar sahaja, tetapi tidak sebagai menteri persekutuan.

“Jadi kalau ada menteri yang dilihat tidak pandai memberi kenyataan atau dilihat tidak memikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat kenyataan, kena marah dan sebagainya, mereka kena belajar daripada kesilapan, apa yang dilalui akan mendewasakan mereka,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya ada kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri dan timbalan menteri yang dilihat boleh menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

Kadir berkata sebagai seorang wartawan yang berpengalaman beliau menasihatkan menteri dan timbalan menteri untuk menyusun kenyataan mereka dengan baik dan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang kurang pasti.

Dalam pada itu beliau berkata media perlu memainkan peranan mereka secara adil apabila melaporkan berita mengenai 10 janji PH yang sepatutnya ditunaikan dalam tempoh 100 hari agar rakyat dapat memahami keadaan sebenar.

Menurutnya, PH membuat janji-janji itu sewaktu menjadi pembangkang dan ketika itu mereka tidak mempunyai butir terperinci mengenai perkara-perkara yang hendak dilaksanakan.

"Bukan mereka sengaja berjanji dan kemudian tidak melaksanakan tetapi mereka membuat janji itu berasaskan fakta-fakta yang ada ketika itu tetapi apabila mereka menang pilihan raya dan menjadi kerajaan, mereka mendapati bahawa unjuran-unjuran yang mereka buat itu tidak tepat dan ada janji yang tidak boleh dilaksanakan serta-merta," katanya.

Beliau menambah, 100 hari bukanlah suatu tempoh masa yang panjang untuk kerajaan melaksanakan segala-galanya, namun ada antara janji itu telah pun dilaksanakan.

Dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14, PH membuat 10 janji untuk dilaksanakan dalam 100 hari antaranya untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah mengurangkan kos sara hidup; menstabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi bersasar petrol; menghapuskan hutang tidak wajar yang dikenakan ke atas peneroka Felda; dan memperkenalkan caruman KWSP untuk surirumah.

Sementara itu, dalam lawatannya ke Bernama, Kadir turut mendengar taklimat mengenai agensi berita itu yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab selain pegawai pengurusan tertinggi yang lain. – Bernama.


Kadir Jasin

Artikel Lain