suria

KJ letak jawatan Komander Rejimen 508 Askar Wataniah

PETALING JAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (gambar) secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Komander Rejimen 508 Askar Wataniah.

Menurut ahli Parlimen Rembau itu, beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya dan permohonan untuk menamatkan kelayakannya.

"Penyerahan surat peletakan jawatan sebagai Komander 508AW dan permohonan untuk menamatkan pentauliahan kepada Mejar Jeneral Datuk Zainal AP BPS.

"Terima kasih kepada pasukan 508AW di atas bekerjasama selama hampir lima tahun sejak saya menjadi komander," katanya menerusi Tweet yang dimuat naik Rabu.

Ketika ditemui di lobi Parlimen pada Rabu, Khairy berkata beliau masih menunggu maklum balas mengenai peletakan jawatannya itu.

"Saya melakukannya kerana kehadiran saya di Kor dan Tentera tidak lagi dialu-alukan," katanya.

Khairy menyandang jawatan Komander dalam Rejimen 508 Askar Wataniah sejak 2014.

Beliau juga merupakan menteri pertama yang dianugerahkan gelaran ketenteraan selepas menyertai beberapa kursus latihan yang dianjurkan oleh rejimen tersebut.

Pada Jun, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk menghentikan amalan yang membenarkan ahli politik dan selebriti menggayakan uniform tentera dan penganugerahan darjat ketenteraan.

Patriot turut meminta Mohamad agar tidak menerima sebarang gelaran kehormat atau memakai uniform ketenteraan seperti bekas menteri pertahanan sebelum ini.

Sebagai reaksi kepada permintaan itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pada 31 Julai berkata, Angkatan Tentera telah menghentikan amalan pemberian gelaran kehormat tentera kepada ahli politik.

Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain