suria

Bapa bunuh anak dipercayai ketagih ketum, syabu - Polis

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan pengaruh ketagihan air ketum dan dadah antara punca seorang bapa bertindak menetak hingga mati anaknya berusia lima tahun di sebuah rumah di Flat Puchong Permai di sini, petang Isnin.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang tidur di ruang tamu rumah mereka yang terletak di tingkat empat flat berkenaan sebelum suspek, 35 tahun, menetak anaknya di kepala dan pergelangan tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata siasatan awal mendapati suspek merupakan peminum tegar air ketum selain positif dadah jenis Methamphetamine (syabu), hasil saringan air kencing.

“Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan meletak mayat anaknya di luar pintu rumah dan dia mengurung diri di dalam. Suspek juga mengaku membunuh anaknya itu selepas mendengar suatu suara menyuruhnya berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohammad Azlin berkata suspek kini ditahan dan polis telah menemukan senjata digunakan iaitu parang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.-- Bernama 

ketum, syabu, Puchong

Artikel Lain