suria

"Siasatan kes kematian suami tak telus" - Isteri CEO Cradle Fun

Nazrin Hassan

PETALING JAYA: Isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, membidas badan penyiasat yang didakwa tidak telus dalam menjalankan siasatan kes kematian suaminya itu.

Menurut Samirah Muzaffar, biarpun sudah membuat permohonan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, dia tidak menerima sebarang laporan mengenai perkembangan siasatan kerana ia diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi.

Dia juga sedang menunggu informasi mengenai beberapa barangan peribadi suaminya yang hilang sejak insiden itu berlaku.

Dalam pada itu, Samirah menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat dakwaan tidak benar mengenai kes tersebut.

Malahan, beliau dan keluarganya dimaklumkan mereka tidak boleh masuk ke bilik yang menjadi lokasi kejadian sejak pukul 5 petang pada 14 Jun lalu.

"Namun, pihak bomba telah mengeluarkan surat pada 19 Jun tetapi bertarikh 14 Jun. Perlakuan seperti ini tidak mengikut prosedur dan membuat kami hilang keyakinan," ujarnya.

Tambah Samirah lagi, laporan media mengenai insiden itu juga tidak konsisten dengan penemuan dalam laporan bedah siasat yang dikeluarkan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2 Ogos.

Katanya, laporan bedah siasat menyatakan Nazrin mengalamai kecederaan tusukan benda tumpul di bahagian parietal kiri dan  luka kecederaan kepala yang teruk.

"Sebagaimana orang ramai tahu, suami saya hidup dengan penuh integriti, jujur dan profesional. Saya mahu siasatan yang mengikut standard etika dan telus," katanya lagi.

Kes itu telah dikelaskan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 3 Ogos.

Terdahulu, Nazrin meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara di sini, pada 14 Jun lalu.

Dilaporkan telefon bimbitnya meletup semasa mengecas.

Artikel Berikut

Artikel Lain