suria

SPRM serbu syarikat balak

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa mula membanteras kegiatan rasuah membabitkan aktiviti pembalakan di Sabah, dengan menjalankan serbuan terhadap tiga syarikat serentak di Sandakan dan Tawau.

Malah, ibu pejabat Jabatan Perhutanan Sabah turut diserbu.

Sumber berkata, satu pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke jabatan tersebut di Sandakan pagi Rabu, dan menghabiskan beberapa jam mencari dokumen penting.

"Mereka mencari dokumen pelesenan tertentu," kata sumber Jabatan Perhutanan.

Pasukan penyiasat mencari perjanjian pembalakan yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang diketuai oleh bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman.

Ketika serbuan dijalankan, Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Sam Mannan sedang menghadiri satu persidangan di Kuching.

Ketua jabatan itu tidak memberi sebarang petunjuk sama ada beliau menyedari terdapat sebarang siasatan SPRM di jabatannya.

Difahamkan, semasa tiga serbuan SPRM yang dilakukan secara berasingan di pejabat syarikat pembalakan - dua di Sandakan dan satu di Tawau, beberapa dokumen berkaitan dengan pembalakan dirampas.

Difahamkan, syarikat-syarikat yang terlibat dalam serbuah itu dimiliki oleh pembalak Sabah "big three" yang didakwa mendapat konsesi pembalakan di seluruh negeri itu.

Setakat ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki atau Ketua SPRM Sabah, Sazali Salbi belum mengulas mengenai serbuan itu.

Serbuan tersebut susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan larangan eksport balak, antara lain bertujuan untuk memecahkan pengusaha balak telah dimonopoli oleh satu pihak selama lebih sedekad.

Shafie berkata, "pengambilan, pembeli dan penjual" kayu balak merupakan di bawah satu kumpulan yang memonopoli perdagangan yang memberi kesan kepada ekonomi dan rakyat.

Tindakan keras terhadap pembalakan haram pada bulan lepas mendedahkan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan dan syarikat senarai awam merupakan antara 10 pemegang konsesi yang disiasat kerana melanggar undang-undang perhutanan di Sabah.

Lebih 40,000 kayu balak, bernilai jutaan ringgit dalam cukai sahaja, dirampas dari hutan secara komersial dan hutan simpan di Tongod, Sandakan, Ranau dan Kalabakan antara 5 dan 14 Julai lalu.

Kerajaan negeri baharu telah membentuk semula jawatankuasa khas di bawah Jabatan Ketua Menteri untuk memantau semua kegiatan berkaitan pembalakan dan juga menguatkuasakan dan melaksanakan undang-undang di bawah Enakmen Perhutanan 1968.

SPRM, balak, pembalakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain