suria

MH370: "Saya sedih kerana terpaksa pergi dalam keadaan ini"

Azharuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman sedih kerana tidak dapat memberikan jawapan sebenar kehilangan pesawat malang MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Rasa sedih itu diungkapkan selepas beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), berkuat kuasa 14 Ogos ini.

Azharuddin juga memohon maaf atas peletakan jawatan itu kerana tidak dapat memenuhi baki tempoh perkhidmatannya dalam CAAM.

Beliau berkata, sejak empat tahun lalu, beliau berusaha sebaik mungkin bagi membantu dalam misi pencarian pesawat malang MH370.

"Saya sentiasa bertekad mencari jawapan kepada soalan yang kita semua tunggu dalam kes tragedi malang ini kerana kita perlu beri penjelasan kepada keluarga dan orang tersayang mereka.

"Saya sedih kerana terpaksa pergi dalam keadaan ini. Berkhidmat untuk industri ini selama lebih 40 tahun merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya dan saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi baki tempoh perkhidmatan saya,” katanya melalui kenyataan media, Selasa.

Pada Isnin, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Bagi MH370 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia mengeluarkan laporan terbaru pesawat tersebut.

Laporan itu antara lain menyatakan, Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATSC) gagal mematuhi protokol dalam memantau pesawat MH370 terutama ketika hilang daripada radar, sebelum perkara itu disedari.

Mengulas peletakan jawatannya, Azharuddin berkata keputusan itu dibuat susulan Laporan Siasatan Keselamatan MH370 yang diumumkan, kelmarin.

"Dengan rasa dukacita dan selepas memikirkan dan membuat pertimbangan mendalam, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi CAAM berkuat kuasa dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis letak jawatan yang saya serahkan hari ini (semalam),” katanya. - Sinar Harian

Azharuddin Abdul Rahman, MH370

Artikel Berikut

Artikel Lain