suria

Jamal dibenar ikat jamin, akhirnya...

Jamal Md Yunos.

SHAH ALAM: Selepas hampir sebulan mendiami Penjara Sungai Buloh, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akhirnya dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim, Datuk Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Jamal yang diwakili peguam kanan, Tan Sri Shafee Abdullah.

Justeru, Jamal dibenarkan jaminan RM20,000 dengan tiga orang penjamin terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi.

Jamal, 48, berdepan dengan pertuduhan iaitu melarikan diri daripada tahanan sah dan dua pertuduhan menceroboh premis.

Yazid dalam penghakimannya berkata, pihak plaintif telah memfailkan notis usul yang disokong oleh afidavit.

Bagaimana pun tiada sebarang afidavit balasan dikemukakan oleh pihak pendakwaan selaku respondan dalam kes ini.

"Selain itu majistret juga tiada budi bicara untuk membatalkan ikat jamin yang telah dibenarkan walaupun mendapati penjelasan plaintif tidak memuaskan dalam prosiding semalam," katanya.

Selain Shafee, Jamal turut diwakili oleh Datuk Mohd Imran Tamrin manakala Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari dan Fatin Hadni Khairuddin selaku respondan dalam prosiding itu.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Ampang menarik balik perintah ikat jamin terhadap Jamal bagi dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di sini, dua tahun lalu.

Bagi tuduhan menceroboh, Jamal didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, di sini.

Dia juga didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 3.30 dan 3.40 petang, 29 Dis 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Julai lalu, Jamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

Jamal Md Yunos

Artikel Sebelum

Artikel Lain