suria

Elaun MP 'malas' dipotong?

KUALA LUMPUR: Syor veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim supaya elaun bulanan ahli Parlimen yang 'malas' dipotong disokong Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata, beliau bersetuju jika ahli Parlimen sengaja ponteng sesi Parlimen tanpa alasan yang kukuh.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan, ahli Parlimen tidak sewajarnya menjadikan jawatan itu sekadar memenuhi kehendak peribadi.

"Saya setuju elaun ahli Parlimen dipotong kalau mereka benar-benar tidak bertanggungjawab, sengaja ponteng Parlimen tanpa alasan yang kukuh.

"Tidak datang Parlimen, tidak berbahas, saya rasa munasabah untuk parti sendiri ambil tindakan.

"Jangan jadikan jawatan ahli Parlimen sebagai memenuhi kehendak peribadi," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, Selasa.

Ahli Parlimen Kulai ini juga berkata, berhubung pemotongan elaun terpulang kepada peraturan Parlimen.

"Tapi sekiranya kita tak hadir Parlimen kerana tugas dan ada tanggungjawab seperti mesyuarat ataupun taklimat yang perlu hadir, jadi saya rasa itu satu perkara yang  difikirkan oleh masyarakat.

"Jangan hanya keluar gambar pada waktu kosong itu kita dah buat kesimpulan.

"Tapi berilah peluang kepada ahli Parlimen untuk memperjelaskan kenapa mereka tidak  hadir. Namun, dalam tempoh dua hingga lima tahun ini mungkin kita dah boleh mengukur siapa ahli Parlimen yang memang sengaja tak datang Parlimen ataupun perangainya yang datang angguk saja, ataupun datang hanya untuk mendapat elaun saja dan prestasi mereka ini boleh dibaca, diukur dalam tempoh waktu dua tahun kita boleh dapat kenal pasti.

"Kalau kita rasa dalam rekod mereka seorang ahli Parlimen tak bertanggungjawab itu potong elaun satu perkara pada peraturan Parlimen tapi biar rakyat tahu ada satu tindakan atau rakyat boleh ukur,"jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media bagi mengulas mengenai status Twitter Rais yang menyatakan cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat yang tidak cukup korum ialah potong elaun bulanan ahli Parlimen mengikut kadar Jawatankuasa Pilihan Dewan.

Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada tahun 2009 hingga 2013 turut mencadangkan supaya nama-nama ahli Parlimen yang disifatkan ‘malas’ itu supaya didedahkan di dalam akhbar dan media sosial.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul berkata, kebanyakan ahli Parlimen menghadiri taklimat dan sebahagian lagi berada di majlis pengebumian bekas Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang dijalankan pada 12.30 tengah hari Selasa.

"Kami ada di bangunan Parlimen bukannya boikot sidang perbahasan, kita ada taklimat untuk ahli Parlimen baharu, dan kami sedang berjalan, jadi makan masa sikit.

"Kemudian loceng kedua bunyi, bukan boikot," jelasnya. - Sinar Harian

Parlimen, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lagi gajah mati ditembak

Artikel Lain