suria

Pilih calon ada rekod baik - MB Selangor

Amirudin Shari.

KLANG: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dinasihati agar memilih calon yang mempunyai rekod baik dalam membela kebajikan mereka.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini bagi memastikan calon berkenaan dapat berkhidmat sebagai wakil rakyat yang baik sekali gus meneruskan tugasnya menjaga kepentingan rakyat.

"Calon (Pakatan Harapan pada) Pilihan Raya Kecil (PKR) DUN Sungai Kandis adalah calon yang mempunyai rekod terbaik dan banyak berjasa pada penduduk kawasan Sungai Kandis.

"Calon kita Mohd Zawawi Ahmad Mughni bukan orang asing kepada penduduk setempat… beliau telah lama berkhidmat kepada penduduk termasuk mewujudkan pusat perlindungan kepada golongan wanita di sini," katanya ketika berucap pada ceramah calon pilihan raya daripada PKR itu di sini, Selasa malam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah PRK DUN Sungai Kandis, Dr A. Xavier Jayakumar dan Timbalan Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Amirudin yang juga Pengarah PRK berkenaan berkata, pilihan raya itu merupakan medan terbaik untuk membuktikan kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang sememangnya diterima rakyat.

Sementara itu, Mukhriz menyifatkan kenyataan Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang meramalkan lebih banyak PRK selepas ini termasuk di Parlimen Langkawi, adalah tindakan tidak wajar.

"Kenyataan itu tidak patut diungkap oleh mana-mana orang, soal ajal bukan di tangan kita, silap-silap yang bercakap itu pergi dahulu," katanya.

Pada Isnin, Annuar yang juga Setiausaha Agung Umno dalam satu ucapan pada satu majlis di sini meramalkan lebih banyak PRK akan berlaku dan menganggap ia sebagai satu hikmah kepada BN. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain