suria

Tun M masih berbisa, sinis jawab KJ

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad terus mencuri tumpuan pada sesi sidang Dewan Rakyat apabila buat pertama kali menjawab soalan yang diajukan selepas 'berehat' 15 tahun.

Perdana menteri boleh dikatakan 'masih berbisa' dan secara sinis apabila menjawab soalan tambahan yang dikemukan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Bekas menteri belia dan sukan itu membangkitkan janji dalam menifesto Pakatan Harapan (PH) yang akan ditunaikan atau ia sekadar pandauan.

Menjelaskan perkara itu, Dr Mahathir (PH-Langkawi) berkata, kerajaan PH tidak menganggap janji manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai al-Quran atau Bible.

“Saya tak sedar bahawa Rembau (Khairy) anggap manifesto itu sebagai buku suci, kalau pun dia anggap demikian kami di sebelah sini anggap ianya manifesto yang tidak mengikat kita sehingga tidak boleh bergerak, apabila kita cuba laksanakan kita dapati ada banyak rintangan.

“Umpamanya undang-undang lama yang telah digubal bekas kerajaan, semua ini menjadi halangan kepada pelaksanaan janji-janji kami.

“Kalau kami berdosa, kami tanggunglah, tapi kami tidak anggap manifesto sebagai al-Quran atau Bible,” kata Dr Mahathir sambil disambut dengan ketawa ahli Yang Berhormat di dewan persidangan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan kerajaan PH bukan sekadar melaksanakan janji-janji, malahan berusaha untuk memperbaiki semula pentadbiran negara.

“Dalam masa 100 hari ini juga banyak kerja yang perlu dilaksanakan kerajaan. Yang diutamakan ialah tindakan membersihkan kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu.

"Bagaimanapun masih ada masa kerana belum sampai 100 hari lagi," katanya.

Soalan pertama yang diajukan kepada Dr Mahathir adalah berkaitan 10 janji dalam 100 hari pentadbiran kerajaan PH dikemukakan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Menjawab soalan itu, beliau mengakui selepas 70 hari membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu, dua daripada 10 janji itu telah dilaksana, enam lagi dalam proses pelaksanaan manakala dua lagi belum dilaksana.

Contohnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang melihat untuk melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah, selain itu, janji yang tidak melibatkan kos juga telah dilaksana seperti penghapusan senarai hitam melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya.

“Tumpuan bukan hanya pada 10 janji ini. Dalam 100 hari banyak kerja perlu dilaksanakan kerajaan," katanya.

Mahathir, KJ

Artikel Sebelum

Artikel Lain