suria

Penyokong Daesh ugut Agong diberkas

Suspek wanita yang ditahan dalam operasi tersebut.

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kumpulan pengganas Daesh di Johor yang terlibat dalam mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V diberkas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

Dalam operasi yang bermula Khamis lalu hingga kelmarin di Terengganu, Selangor, Perak dan Johor itu, seramai tujuh individu termasuk tiga warga Indonesia telah diberkas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pada Khamis lalu di Terengganu dan Petaling Jaya, Selangor telah menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 26 dan 27 tahun dipercayai merupakan anggota Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) serta Daesh.

Menurutnya, suspek pertama merupakan seorang peniaga dan telah berbaiah dengan pemimpin tertinggi kumpulan itu di Bandung, Indonesia juga merancang membawa isteri serta anaknya untuk berhijrah ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh.

"Suspek kedua pula mengaku terlibat dengan Daesh dan menyimpan kira-kira 100 video dam 90 keping gambar berkaitan aktiviti kumpulan pengganas itu. Malah, suspek ini juga turut mempromosikannya di akaun Facebook miliknya," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Beliau berkata, tangkapan ketiga turut melibatkan suspek lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun yang mengaku mempunyai hubungan dengan Kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) iaitu kumpulan yang terlibat dalam pembunuhan pegawai Polis Republik Indonesia (Polri) pada 10 Mei lalu di Jawa Barat, Indonesia.

Mengulas lanjut, pada Isnin lalu, dua warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 42 dan 24 tahun berjaya diberkas.

"Suspek wanita ini dipercayai telah menyalurkan wang berjumlah kira-kira RM4,000 kepada anggota Daesh di Syria iaitu Muhammad Nasrullah Latif @ Abu Gomez yang dilapor terkorban pada Mac lalu.

"Suspek lelaki pula dikesan telah membuat ugutan melalui postingnya di Facebook miliknya untuk melancarkan serangan bom di Malaysia, Indonesia dan Filipina selain sering berhubung dengan dengan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (perancang utama insidem bom di Puchong, Jun 2016)," katanya.

Dalam serbuan di Skudai, Johor pada Selasa polis turut memberkas seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang juga merupakan penyokong Daesh dengan memuat naik ugutan bunuh ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, suspek yang juga merupakan penganggur itu turut membuat ugutan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kerana beranggapan pimpinan negara mentadbir negara tidak berpandukan syariat Islam.

Tambahnya, tangkapan terakhir di Masai, Johor juga berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang merancang untuk menyertai kumpulan Daesh di Syria.

"Kesemua suspek akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media pada Khamis, beliau turut mengesahkan seramai 414 anggota Daesh sejak tahun 2013 telah ditahan dan daripada jumlah itu seramai 106 adalah warga asing selain 43 wanita.

"Modus operandi terbaru Daesh adalah merekrut wanita sebagai pengebom berani mati. Kita akan menganalisis mengapa wanita dijadikan mangsa sama ada ia dipengaruhi atau sebab-sebab lain," katanya. - Sinar Harian

Daesh, Sultan Muhammad V

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain