suria

SPRM: Akaun bank Najib tak dibeku kerana tiada kaitan siasatan SRC, 1MDB

Najib Tun Razak.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menjelaskan pelepasan pembekuan akaun bank milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia tiada kaitan dengan siasatan SRC International Sdn Bhd (SRC International)  dan juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tindakan melepaskan pembekuan akaun tersebut bukan dilakukan atas desakan mana-mana pihak tetapi disebabkan siasatan terhadap akaun itu telah selesai dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan bahawa akaun bank peribadi milik bekas perdana menteri itu tidak lagi dibekukan, sejak Isnin.

Sementara itu, SPRM berkata, akaun-akaun bank lain milik Najib yang didakwa terlibat dengan SRC International dan 1MDB tidak dibekukan kerana akaun-akaun tersebut telah ditutup sebelum siasatan bermula pada Julai 2015.

“Ini bermakna, pembekuan akaun bank Najib  berkaitan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan telah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan.

Sementara itu, SPRM menegaskan siasatan berhubung dana RM2.6 bilion masih diteruskan.

Pada 2 Julai lepas, Pasukan Petugas Khas 1MDB telah membekukan 408 akaun bank milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan dana RM1.1 bilion pada 26 dan 29 Jun 2018 lalu.

Akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu dan  55 syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

Sementara itu, SPRM menjelaskan isu pembekuan dan pelepasan akaun bank Najib berikutan terdapat beberapa kekeliruan fakta yang dilaporkan oleh segelintir pihak menerusi media.

Berhubung dakwaan bahawa suruhanjaya ini mengadakan publisiti besar-besaran mengenai pembekuan akaun Najib  dan menyepi apabila pembekuan akaun ditarik balik, SPRM menegaskan bahawa isu tersebut tidak timbul kerana suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun.

“SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun tersebut apabila persoalan itu ditimbulkan oleh pihak media,” katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain