suria

Isu lambakan doktor, jururawat akan diselesaikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menyelesaikan masalah  lambakan graduan doktor perubatan dan jururawat baharu yang masih belum mendapat penempatan di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata punca lambakan graduan doktor dan jururawat itu disebabkan peningkatan keluaran graduan perubatan dari institusi pengajian tempatan dan luar negara.

"Sebab kedua lambakan itu adalah kerana kementerian melaksanakan Dasar Mengoptimumkan Sumber Manusia bermaksud tiada tambahan jawatan baharu ditawarkan kecuali secara tukar ganti  atau agihan semula,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama, di sini, baru-baru ini.

Dzulkefly

Dzulkefly berkata kementerian mengambil perhatian terhadap isu berkenaan dan bagi mengatasinya kementerian telah mengambil langkah-langkah berikut: Mengubah kaedah lantikan  secara tetap kepada lantikan secara kontrak, menerusi kaedah ini pegawai berpeluang menjalani latihan siswazah serta mendapat Pendaftaran Penuh selaras yang disyaratkan di dalam Akta Perubatan 1971 bagi meningkatkan kemahiran klinikal dan pengalaman pegawai.  

Menguatkuasakan moratorium bagi program perubatan dengan pihak  Kementerian  Pendidikan  sehingga 30 April, 2021, dengan ini bertujuan untuk mengawal had pengambilan (kuota) graduan  perubatan oleh universiti dalam negara. 

Tempoh asal adalah selama lima tahun, mulai 1 Mei, 2011 hingga 30 April, 2016 dan pada masa ini dilanjutkan sehingga 30 April, 2021.

Beliau berkata menerusi moratorium ini, tiada program perubatan yang baharu di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan tiada penambahan kuota pengambilan pelajar program perubatan.

Bagaimanapun, kementerian tidak dapat mengawal kemasukan dan keluaran graduan dari universiti luar negara.

"Selain itu, kementerian telah meningkatkan slot latihan siswazah daripada 10,835 kepada 11,706 melalui tambahan Hospital Latihan Siswazah. 

Kementerian telah meningkatkan bilangan hospital Latihan Siswazah daripada 38 buah hospital latihan siswazah pada tahun 2009 kepada 47 buah hospital latihan siswazah," katanya.

Ia merangkumi 44 buah hospital di bawah kendalian kementerian dan tiga Hospital Pengajar (Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya) pada tahun 2018.

Langkah lain yang telah diambil ialah menambah opsyen bilangan posting Latihan Siswazah.

"Beberapa  posting (penempatan) baharu  telah diperkenalkan secara berperingkat bagi meningkatkan lagi slot latihan dan penempatan bagi latihan siswazah, dan ia termasuk posting di Anaestesia, Perubatan Kecemasan, Psikiatri dan Kesihatan Primer, dimana penambahan ini dapat membantu menambahkan slot latihan siswazah," katanya.

Dzulkefly berkata kementerian juga akan meneruskan  pengambilan Pegawai Perubatan Gred UD41 secara berfasa, pengambilan  secara kontrak akan diadakan setiap dua bulan sekali. 

Bagaimanapun, bilangan pengambilan adalah bergantung pada kekosongan slot latihan.

Mengenai isu graduan jururawat yang masih belum menerima penempatan di hospital kerajaan, beliau berkata kementerian telah mengurangkan bilangan pengambilan pelatih jururawat daripada 2,274 pada tahun 2016 orang kepada 1,742 orang pada tahun 2018 (penurunan sebanyak 23%), katanya.

Selain itu, kementerian akan memohon  kelulusan khas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jawatan tetap atau membenarkan kementerian melantik graduan-graduan jururawat keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan secara kontrak, dan permohonan itu masih dalam pertimbangan JPA buat ketika ini, katanya.

lambakan doktor

Artikel Lain