suria

A. Kadir letak jawatan Ketua Media CEP

A. Kadir Jasin.

PETALING JAYA: Datuk A. Kadir Jasin meletak jawatan sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pada Sabtu, lapor agensi berita Bernama.

A. Kadir berkata beliau membuat keputusan itu demi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkaitan peranannya dalam Majlis tersebut serta pandangan beliau dalam blog dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian.

“Sebagaimana yang saya tegaskan dalam mukadimah blog saya, segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata. Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang.

“Bagaimanapun, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan saya terus mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan ,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Justeru bagi mengelak kesipuan kepada Majlis dan percanggahan kepentingan di pihaknya,  A. Kadir berkata beliau telah memohon untuk mengundur diri dan keputusan itu telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis itu Tun Daim Zainuddin.

Dalam kenyataan itu beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan  Daim atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadapnya serta petugas Unit Media dan Komunikasi di atas ketekunan dan kerja kuat mereka.

“Saya akan terus menyumbang bakti kepada tanah air kita yang tercinta ini dan rakyat jelatanya dengan cara terbaik yang saya ketahui, iaitu menerusi mata pena saya. Terima kasih. Semoga Allah memberkati,” katanya.

Beliau didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong berikutan pendedahan mengenai perbelanjaan Sultan Muhammad V di dalam blog peribadinya baru-baru ini.

Dalam blog itu, beliau mendakwa Sultan Muhammad V membelanjakan sebanyak RM257 juta dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, lembaran terperinci perbelanjaan itu juga turut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dakwanya, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.

Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas.

A. Kadir Jasin, CEP

Artikel Lain