suria

Sirul Azhar akan pulang!

Sirul Azhar.

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi pesalah, Sirul Azhar Umar dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan, lapor akhbar harian Britain.

Memetik sumber, The Guardian melaporkan bahawa bekas pegawai polis, yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, akan meninggalkan Australia selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kos kepulangannya.

Australia sebelum ini menolak ekstradisi Sirul kerana ia melanggar undang-undang negara yang tidak menghantar pulang seseorang yang berdepan dengan hukuman mati.

Bagaimanapun, laporan itu berkata, pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan kepada Australia bahawa Sirul akan menerima layanan yang adil apabila pulang ke tanah air.

Sirul berkata, dia bersedia untuk membantu kerajaan baharu bagi memberitahu apakah yang sebenarnya berlaku sekiranya diberikan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dia turut menyatakan rasa tidak puas hati mengenai bagaimana perbicaraan kes bunuh itu diadakan, sambil menambah bahawa dia hanya mengikut arahan peguamnya.

Dia mendakwa semasa perbicaraan, "saksi utama" di dalam kes tersebut tidak dipanggil, maka berharap kes tersebut dibuka semula.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015.

Altantuya, 28, ditembak mati dan tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera di sebuah hutan dekat Empangan Subang Dam di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.

Pada 16 Mei lalu, Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga dalam satu perutusan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta supaya membantu menegakkan keadilan dalam kes Altantuya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya Sirul dibawa pulang ke Malaysia untuk perbicaraan semula.

Sirul Azhar, Altantuya

Artikel Lain