‘Raya Chin’ jadi tular, ditonton lebih 100,000 dalam masa 2 hari - Semasa | mStar

‘Raya Chin’ jadi tular, ditonton lebih 100,000 dalam masa 2 hari

PETALING JAYA: Raya Chin, sebuah iklan hari raya yang mengisahkan sikap jengkel seorang ketua di sebuah syarikat berjaya mencatat lebih 100,000 tontonan dalam masa dua hari dimuat naik di YouTube.

Video berdurasi lebih empat minit terbitan Star Media Group (SMG) itu mendapat respons positif dalam kalangan netizen selepas ia menjadi viral di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesiapa tak tersentuh hati tonton ‘Raya Chin’ memang tak ada perasaan

Bertemakan situasi di pejabat, Raya Chin mengisahkan tentang seorang ketua bernama Chin yang terpaksa berhadapan karenah pekerja-pekerjanya.

Sungguhpun menggunakan skop penceritaan yang kecil, rata-rata netizen mampu mengaitkan suasana pejabat yang pernah dilalui mereka dengan apa yang disajikan dalam iklan raya itu.

Watak Chin iaitu seorang ketua yang tegas lakonan Pauline Tan berjaya membangkitkan emosi penonton dengan ketegasannya berhadapan pelbagai ragam petugas bawahan bagi membolehkan mereka bercuti untuk menyambut hari raya.

Pauline yang juga bekas peserta Miss Malaysia 2015 mempamerkan lakonan mantap dengan karakter yang menjegkelkan apabila dia langsung tidak 'beri muka' kepada pekerjanya untuk memastikan mereka dapat menyiapkan kerja dengan pantas pada bulan Ramadan.

Namun iklan arahan penyunting video mStar Online, iaitu Tuan Hafis Tuan Ludin bersama tenaga produksi dalaman ini berjaya membuka mata penonton menerusi teknik 'plot twist' yang diketengahkan.

Elemen pengorbanan di sebalik sikap suka menghukum sesama manusia hanya dari luaran dapat dilihat dalam video ini sehingga ia berjaya menyentuh hati penonton.

Sikap bos yang tegas tidak disukai pekerjanya namun dia seorang yang baik hati.

Selain Raya Chin, Aidilfitri 2018 turut dimeriahkan dengan pelbagai iklan hari raya terbitan syarikat-syarikat korporat lain dengan pelbagai mesej positif.

Antara yang menjadi perhatian ialah Rumah Epik Fantastik terbitan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Misi Riuh Raya (Petronas), Ops Lip Lap Raya (Malaysia Airlines), Buah Hati Raya (Lazada) dan Filem Pendek Raya 2018 (Telekung Siti Khadijah).

Gandingan pelakon Syafie Naswip dan Khatijah Tan dalam video raya Janji Amin terbitan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga antara yang memberi kesan kepada penonton.

Raya Chin , Pauline Tan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Pemuda 'lelong' duit raya menyesal

Ahmad Zahid sedia isytihar aset

Artikel Lain