suria

Sekali lagi SPRM cari Jho Low, Nik Faizal Ariff

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta dua individu untuk menghubungi pihaknya segera bagi membantu siasatan kes berkaitan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).

Dua individu terbabit ialah Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil, 47, dan ahli perniagaan, Low Taek Jho, 37, atau Jho Low.

Ini bukanlah kali pertama SPRM menghebahkan supaya kedua-dua individu terbabit tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan. Kali pertama kenyataan sama dikeluarkan adalah pada Ogos 2015.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Khamis, alamat terakhir Nik Faisal Ariff Kamil adalah di Alam Impian, Shah Alam; manakala Jho Low pula di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Pada November 2015, SPRM berjaya mengambil keterangan daripada Nik Faisal Ariff Kamil berkaitan isu syarikat itu dan dana politik RM2.6 bilion.

Sebelum ini, The Star melaporkan, Jho Low sentiasa menekankan dia tidak memainkan sebarang peranan dalam 1MDB atau PetroSaudi International, dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Namun pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo berkata dia bertemu Jho Low bukan sekali tetapi dua kali untuk berbincang perkara antara 1MDB dan PetroSaudi International.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka diminta agar menghubungi pegawai penyiasat, penolong kanan pesuruhjaya Rosli Husain di talian 03-8870 0529 atau 010-318 7757 atau emel kepada [email protected] bagi membantu siasatan.

SPRM, Jho Low

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain