suria

Larangan buku kartunis Zunar, AGC akan dapatkan arahan KDN

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada ingin menarik balik larangan yang dikeluarkan ke atas sebuah buku karya kartunis Zunar berjudul ‘Sapuman: Man of Steal'.

Peguam N. Surendran yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Muzila Mohd Arshad bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden semasa pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi hari ini.

“Oleh itu pendengaran permohonan semakan kehakiman ditangguhkan kepada 9 Ogos selepas Muzila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut daripada KDN berhubung perkara tersebut,” katanya yang turut memaklumkan tarikh sama ditetapkan untuk mengetahui status daripada KDN.

Surendran berkata sekiranya KDN menarik balik larangan buku berkenaan, permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan anak guamnya itu tidak akan diteruskan.

“Ada kemungkinan pihak kami tidak akan meneruskan dengan permohonan semakan kehakiman jika KDN menarik balik larangan itu. Apapun, semuanya bergantung kepada terma dan respons daripada KDN,” katanya.

Surendran berkata sepatutnya pada Khamis ditetapkan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman berkenaan selepas anak guamnya memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding itu pada 12 Februari lepas.

Zunar selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 2 Januari lepas, antara lain untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Oktober 2017 berhubung larangan terhadap buku tersebut dan memohon pengisytiharan bahawa perintah itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan serta bersifat ultra vires mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Zunar berkata beliau telah melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu-isu politik semasa di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur and Selangor pada 13 September 2015.

Kartunis itu mendakwa Menteri Dalam Negeri melalui Warta Kerajaan Persekutuan telah mewartakan satu perintah di bawah Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bahawa percetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku itu adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.

Zunar turut mendakwa warta berkenaan menyatakan alasan bahawa buku karyanya itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan menjejaskan fikiran orang ramai. - BERNAMA

kartunis Zunar

Artikel Lain