suria

Sampel makanan diambil untuk kenal pasti punca keracunan

TAIPING: Jabatan Kesihatan negeri Perak telah mengambil sampel makanan dari gerai-gerai makanan dan bazar Ramadan di Ayer Tawar, Sitiawan bagi mengetahui punca keracunan makanan yang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia pada Rabu.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata sampel berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia serta Makmal Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan dan keputusan dijangka sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu.

"Sampel makanan itu telah diambil sejak kanak-kanak berkenaan dan tiga lagi keluarganya mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM), Sabtu lalu.

“Kita menjalankan siasatan kes keracunan makanan itu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Tanpa Tembakau 2018 di Wisma Persekutuan Taiping di sini, Khamis.

Pada Rabu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala tiga lagi anggota keluarganya dirawat di HSM dipercayai akibat keracunan makanan di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar.

Kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat komplikasi ketika menerima rawatan di HSM, manakala tiga anggota keluarganya kini berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih.

Kesemua mereka mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, muntah, dehidrasi, keletihan dan demam, serta seorang mengalami sawan, bermula antara pukul 1 hingga 5 pagi pada Jumaat lepas.

Dr Ding berkata pihaknya sentiasa menasihati orang ramai supaya membeli makanan di tempat yang bersih dan selamat.

“Kita sudah mengadakan kempen dan pemeriksaan sejak awal Ramadan dan masyarakat hendaklah prihatin terhadap makanan yang mereka beli itu agar ia selamat dimakan,” katanya. - BERNAMA

keracunan makanan, bazar Ramadan

Artikel Berikut

Artikel Lain