suria

"Saya kaji, saya bagitau tuan..." - Tun M tak kecewakan media

Dr Mahathir. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

PUTRAJAYA: Isu dakwaan mengenai perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong menggamatkan sidang media di Perdana Putra di sini, Rabu.

Ketika itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditanya pemberita mengenai dakwaan bahawa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tak tengok artikel itu, saya dengar cerita saja," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai catatan blog peribadi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A Kadir Jasin yang mendakwa purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan ke luar negara serta gaji kakitangan istana.

Bagaimanapun Dr Mahathir hanya memberitahu media bahawa dakwaan tersebut akan disiasat.

"Ya lah dia (Kadir) kata, tapi saya nak kena kajilah tengok. Saya kena tengok betul ke, untuk berapa tahun.

"Setahun ke, 10 tahun ke, saya tak tau," katanya.

Tidak mahu menghampakan pihak media apabila tiada jawapan jelas tentang soalan yang ditanya, Dr Mahathir akhirnya menjawab: "Saya kaji tengok dan saya beritahu kepada Tuan (pemberita)," tambahnya sebelum sidang media gamat dengan jawapan perdana menteri itu.

Artikel Lain