suria

Siasatan terhadap 1MDB keutamaan Thomas

PUTRAJAYA: Penyiasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjadi keutamaan segera Peguam Negara (AG) yang baru dliantik, Tommy Thomas, sebaik sahaja  beliau memulakan tugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu.

Bercakap kepada pemberita ketika melangkah masuk ke lobi AGC pada kira-kira 1.20 tengah hari, Thomas yang sebelum itu menghadiahkan senyuman kepada mereka yang setia menunggu sehingga beliau turun dari kereta, terus menuju kepada sekumpulan wartawan dan mengeluarkan skrip untuk dibaca.

"Keutamaan segera saya adalah semua perkara berkaitan 1MDB. Oleh itu, saya  perlu meneliti  kertas berkaitan skandal itu. Kami akan kenakan prosiding jenayah dan sivil di mahkamah terhadap mereka yang didakwa melakukan kesalahan. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan tiada siapa pun yang akan terlepas. Tiada apa yang akan disembunyikan," katanya.

Thomas berkata  AGC akan segera menghubungi  rakan sejawatannya di Amerika Syarikat, Switzerland, Luxembourg, Singapura dan pihak berkuasa lain bagi menghulur kerjasama dan bantuan penuh kepada mereka dalam semua perkara berkaitan 1MDB agar wang berjumlah berbilion ringgit yang dicuri daripada pembayar cukai dipulangkan kepada Malaysia.

Ditanya sama ada terdapat individu tertentu yang akan beliau siasat terlebih dahulu atau adakah beliau mempunyai  senarai individu berkenaan dalam fikirannya ketika ini, Thomas berkata beliau perlu meneliti kertas dan dokumen yang ada terlebih dahulu.

"Bagi saya, mereka adalah orang yang didakwa telah melakukan perkara salah," katanya.

Ditanya adakah beliau akan meneliti dakwaan sebelum ini berikutan AG terdahulu menghentikan siasatan terhadap 1MDB, Thomas berkata beliau melihat semua itu dengan fikiran  terbuka.

"Jangan lupa bahawa saya orang luar. Apa yang saya tahu hanyalah apa yang saya baca dalam domain awam," katanya.

Thomas berkata perkara yang akan menjadi keutamaan segera kedua beliau ialah undang-undang yang bersifat menindas.

"Walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan tentang penamatan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Akta Antiberita Tidak Benar, sebenarnya  senarai undang-undang itu panjang juga dan jabatan perlu mengambil langkah untuk memansuhkannya sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja atau dengan kadar segera," kata beliau.

Ketiga , kata Thomas, beliau perlu mengkaji secara bebas tanggungjawab  antarabangsa yang dipikul pentadbiran sebelum ini seperti kontrak dengan negara lain bagi menentukan sama ada ia bersifat berat sebelah dan merugikan Malaysia.

"Pendakwaan secara berpilih akan dihentikan  dengan serta-merta. Mereka yang tidak melakukan kesalahan, tidak  perlu berasa takut.

“Malaysia negara bebas. Kita tidak perlu bimbang polis akan mengetuk pintu rumah di tengah malam. Tapi, bagi mereka yang melanggar undang-undang, tindakan akan diambil  mengikut undang-undang sepenuhnya, tanpa mengira kedudukan mereka dalam kehidupan," katanya.

Menyentuh tentang pemisahan kuasa antara AGC dan pendakwa raya, beliau berkata Majlis  Peguam telah mengamalkan pendirian itu sejak beberapa dekad lepas.

"Kerajaan pembaharuan yang saya berkhidmat dengannya sekarang sudah menerima pakai pendirian itu dan kami akan berusaha ke arahnya dan sudah  tentu, inilah yang akan menjadi objektifnya," kata beliau.

Ditanya tentang bantahan pihak tertentu dalam masyarakat  berkaitan pelantikannya, Thomas berkata beliau tidak kisah dikritik oleh sesiapa.

"Ia sebahagian  daripada kebebasan bersuara. Sekiranya anda  menghargai kebebasan bersuara, maka anda sendiri perlu mengamalkan kebebasan bersuara. Saya lebih suka mendengar kritikan daripada  pujian," katanya sambil menambah bahawa  beliau menerima surat pelantikan pagi ini, bagi tempoh dua tahun.

Surat berkenaan dihantar ke pejabatnya semalam.Diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak tentang dirinya yang kurang mahir berbahasa Melayu, Thomas mengaku beliau perlu menambah baik penguasaannya dalam bahasa kebangsaan.

"Ya, saya bimbang, saya perlu menggilapnya. Memanglah, saya perlu menggilapkannya lagi. Oleh  kerana sudah 42 tahun berada dalam sektor swasta, saya telah mengabaikan bahasa (Melayu) dan saya berjanji akan menggilapnya kembali," kata beliau sambil tersenyum.- Bernama

Tommy Thomas, Peguam Negara

Artikel Lain