suria

UPM lonjak ke kedudukan ke-202 universiti terbaik dunia

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melonjak 27 anak tangga untuk tersenarai pada kedudukan ke-202 universiti terbaik dunia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2018/2019, Rabu.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris berkata kenaikan tersebut adalah tempoh lima tahun berturut-turut selepas menghuni tangga ke-229 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan dalam ranking dunia membuktikan bahawa universiti berkenaan berada pada landasan terbaik selaras dengan Pelan Stategik UPM 2014-2020 untuk mencapai kedudukan 200 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

“Peningkatan kualiti kurikulum dan kebolehpasaran pelajar boleh meningkatkan jaringan dan reputasi pelajar UPM dengan industri dan bakal majikan kerana ia dinilai dalam indikator Employer Reputation.

“Usaha UPM memperbaiki beberapa indikator akan digandakan seperti strategi meningkatkan jumlah pensyarah antarabangsa dan meningkatkan kualiti akademik dan pelajar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Jelasnya, UPM juga berada pada kelompok 20 peratus universiti terbaik dunia daripada 1,233 universiti yang dinilai oleh QS serta memperolehi skor tertinggi bagi indikator International Student, selain peningkatan skor dalam tiga indikator lain iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty Students dan International Faculty.

Selain itu katanya, UPM juga memperkukuhkan aspek dasar terutama kualiti penyelidikan akademik dan bilangan penerbitan dalam jurnal terkemuka dengan bilangan sitasi penerbitan.

Menurutnya, selaras visi UPM untuk menjadi Universiti bereputasi antarabangsa, ranking QS membantu untuk menilai tahap visibiliti UPM terutama dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.

QS World University Rankings 2018/2019 membuat penilaian berdasarkan enam indikator iaitu Reputasi Akademik, Majikan, Pelajar Fakulti, Sitasi Mengikut Fakulti, Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa. - Bernama

UPM

Artikel Lain