suria

Umno sokong perkenan Agong lantik Tommy Thomas

Sultan Muhammad V

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan digesa bertegas terhadap tindakan provokatif yang menolak prinsip taat setia kepada Raja dalam memastikan prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara terus dipelihara.

Umno, dalam satu kenyataan media pada Rabu menyatakan kebimbangannya terhadap penularan budaya biadab terhadap institusi Diraja dalam kalangan pihak tertentu yang berselindung atas nama kebebasan bersuara.

"Penularan budaya ini sengaja ditanam dengan tujuan menghakis rasa taat setia rakyat Malaysia kepada Raja-Raja Melayu.

"Kerajaan Pakatan Harapan mesti bertegas dalam hal ini dan tidak boleh mengambil sikap berdiam diri, baling batu sembunyi tangan dan telus mengekalkan sebarang peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan terutama yang berdasarkan semangat kontrak sosial," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Strategik parti ini.

Dalam pada itu Umno turut menyatakan pendiriannya untuk menyokong perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang bersetuju melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu meskipun ia mendapat bantahan banyak pihak.

"Umno akan memastikan tidak wujud sebarang pertelingkahan semua pihak di atas pelantikan ini dan akan terus memelihara kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu.

"Umno juga menolak sebarang percubaan jahat untuk menghina dan memperlekehkan Institusi Raja-Raja Melayu.

"Jangan cuba-cuba mengheret rakyat jelata untuk tidak lagi menghormati dan mendaulatkan Raja-raja yang menjadi lambang Demokrasi Raja Berperlembagaan di negara ini," katanya.

Umno juga mengambil pendirian untuk berdiri teguh bersama Raja-Raja Melayu untuk mempertahankan hak-hak yang melibatkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kedudukan Hak-Hak Istimewa Orang-orang Melayu seperti yang termaktub Perlembagaan Malaysia.

Tommy Thomas, Sultan Muhammad V

Artikel Lain