suria

Cuai jaga Jamal, anggota polis akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui ada unsur kecuaian pegawai dan anggotanya yang mengawal Datuk Seri Jamal Yunos di sebuah hospital swasta di Ampang sehingga beliau dapat menghilangkan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang ditugaskan menjaga Jamal.

“Mereka yang ditugaskan menjaga Jamal ketika itu akan disiasat dan diambil tindakan tatatertib,” katanya.

Mazlan berkata polis juga telah menghubungi pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mengesan Jamal dan berharap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu dapat dikesan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Jamal dalam satu rakaman suara yang tular di media sosial berkata PDRM tidak perlu menyusahkan pihak Interpol bagi memburunya kerana beliau masih berada dalam negara ini.

“Apa yang saya buat bukanlah satu jenayah yang boleh mengancam keselamatan kerana kesalahan yang saya buat adalah kesalahan kecil,” katanya dalam rakaman kira-kira dua minit itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Jamal dilapor menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Jamal, 48, didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada 5 Okt lepas.
-Bernama

Jamal, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain