suria

Polis Indonesia bantu jejak Jamal

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan kawalan kehormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa melakukan lawatan di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, Isnin.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Indonesia bagi menjejak Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dikatakan melarikan diri ke negara republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara ini telah dimaklumkan ke pihak berkuasa Indonesia agar membantu PDRM menyelesaikan perkara ini.

“Kalau boleh hari ini hendak tangkap beliau (Jamal), tapi soal proses dan prosedur itu mesti ada.

“Saya harap kerjasama dapat diberikan bagi memastikan nama yang disebutkan tadi dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Isnin.

Mengulas tentang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman pula, Muhyiddin berkata, pemimpin itu juga sedang dicari selepas terdapat laporan polis terhadapnya di Sabah.

“Polis akan mencari di mana beliau (Musa) berada dan bawa pulang untuk dihadap ke mahkamah,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian selepas membuat lawatan rasmi di Bukit Aman bagi membincangkan tentang aspek keselamatan negara dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap jabatan bagi menentukan keberkesanan PDRM itu sendiri selain menekankan aspek integriti.

Jumaat lalu, Jabatan Imigresen Malaysia akan mengenakan tindakan kepada Jamal dan Musa sekiranya dua pemimpin itu meninggalkan negara melalui laluan tidak sah.

Malah, Musa dan Jamal juga telah disenarai hitam untuk ke luar negara.

Selain itu, beberapa hari lalu, seorang pengguna laman sosial Facebook mendakwa melihat kelibat Musa di Stesen Keretapi St Pancras International, London. Dia turut memuat naik video berdurasi 10 saat, yang turut menjadi tular.

Musa dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.-SinarHarian

Jamal Yunos, Muhyiddin, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain