suria

Najib guna khidmat peguam terkemuka AS

John Ashcroft.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikaitkan dengan skandal 1MBD menggunakan khidmat sekumpulan peguam terkemuka Amerika Syarikat (AS).

Ashcroft Law Firm, yang diterajui bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft, mendaftarkan nama Najib sebagai anak guam dalam daftar melalui Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA).

FARA memerlukan ejen yang mewakili kepentingan kuasa asing untuk mendedahkan hubungan mereka dengan kerajaan asing dan maklumat tentang aktiviti dan kewangan berkaitan.

Berdasarkan carian The Star, nama Najib muncul dalam daftar FARA sebagai 'prinsipal asing' dengan Ashcroft Law Firm dinamakan sebagai 'pendaftar' dalam paparan awam masing-masing bertarikh 28 dan 29 Mac lalu.

Menurut dokumen itu, firma tersebut dilantik untuk memberi nasihat undang-undang kepada Najib mengenai 'tindakan tidak wajar oleh pihak ketiga untuk cuba menggugat kerajaan Malaysia.'

Dalam dokumen itu juga, ia menyatakan perkhidmatan disediakan oleh Ashcroft Law Firm dibiayai 'kerajaan asing, parti politik asing atau prinsipal asing yang lain."

Namun tidak dapat dipastikan sama ada Najib akan mengekalkan perkhidmatan Ashcroft mengenai isu saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS untuk menyiasat kes 1MDB.

Wall Street Journal pada tahun lalu melaporkan Najib melantik firma guaman untuk menasihati beliau mengenai kes 1MDB pada 2016.

Ashcroft Law Firm pernah mewakili kerajaan Qatar untuk menangkis tuduhan Presiden AS, Donald Trump dan jiran Arabnya bahawa negara itu menyokong keganasan.

Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Lain