Peguam negara tarik balik rayuan prosiding komital Guan Eng - Semasa | mStar

Peguam negara tarik balik rayuan prosiding komital Guan Eng

PUTRAJAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Jumaat menarik balik rayuan mengenai prosiding komital terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berkaitan kes rasuahnya yang masih dalam perbicaraan.

Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Datuk Abdul Rahman Sebli, bahawa Pejabat Peguam Negara yang mewakili perayu (Mohamed Apandi) telah memfailkan notis pemberhentian mengenai rayuan itu semalam dan telah menyerahkannya kepada peguam-peguam responden (Lim) pada hari yang sama.

“Kami tidak meminta sebarang perintah berhubung kos," kata Maisarah.

Lim yang kini Menteri Kewangan diwakili peguam Mervyn Lai.

Hakim Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam kemudian membatalkan rayuan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Mohamed Apandi mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Disember 2017 yang membenarkan permohonan Lim untuk mengetepikan perintah yang diperoleh beliau (Mohamed Apandi Ali) untuk memulakan prosiding komital terhadap Lim.

Pada 21 September 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lim.

Dalam saman pemula Peguam Negara yang difailkan secara ex-parte pada 18 Ogos 2016, beliau memohon agar Lim dipenjarakan kerana menghina mahkamah ekoran dakwaan beliau (Lim) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan dalam media cetak dan/atau media sosial yang "telah menjejaskan pelaksanaan keadilan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan mempertikaikan kehormatan dan integriti mahkamah.

Mohamed Apandi berkata tindakan menghina mahkamah patut dibenci kerana jika tidak, ia boleh menimbulkan keraguan dalam pelaksanaan keadilan di negara ini.

Menurut Peguam Negara, kenyataan-kenyataan yang dibuat Lim pada sidang media di George Town, Pulau Pinang bahawa pertuduhan rasuah terhadap beliau adalah satu konspirasi dan beliau akan dipenjarakan, dengan jelas boleh ditafsir sebagai usaha untuk menarik mahkamah terlibat dalam mengada-adakan tuduhan yang didakwakan itu.

Pada 16 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap pertuduhan rasuah membabitkan pertukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Kes itu masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun