suria

Tiada lagi kutipan tol KL-Seremban, Salak Expressway

Orang ramai akan berasa lega dengan pengumuman kerajaan memansuhkan kutipan tol jajaran KL-Seremban, Salak Expressway.

PETALING JAYA: Kutipan bayaran tol di jajaran Kuala Lumpur - Seremban Expressway dan Salak Expressway di Plaza Tol Sungai Besi ditamatkan berkuatkuasa pukul 12.01 pagi 1 Jun.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md Salleh berkata, penamatan tersebut akan memberi manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari.

"Dengan penamatan tempoh konsesi jajaran tersebut, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan di antara 50 peratus hingga satu peratus (atau di antara RM0.40 hingga RM1.70) bergantung pada jarak perjalanan dan kelas kenderaan.

"Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya Utara-Selatan yang dilalui mereka sahaja," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baharu menerusi laman web www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan lancar ke destinasi.

Plaza Tol, Plus, Sungai Besi

Artikel Sebelum

Artikel Lain