suria

Rampas wang tunai, barangan mewah di satu premis:"Ini kes pertama"

PETALING JAYA: Wang tunai berjumlah RM114 juta ditemui dalam rampasan 35 daripada 72 beg dari sebuah unit kondominium mewah, Pavilion Residences di ibu negara yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, baki 37 beg lagi mengandungi barang kemas dan jam tangan.

"Selepas membuat pengiraan selama tiga hari dengan pihak bank bermula 21 hingga 23 Mei lalu, saya dapat sahkan wang tunai bernilai RM114 juta dari 26 mata wang pelbagai negara terkandung dalam 35 beg tersebut.

"Sebanyak 11 mesin pengiraan telah digunakan dengan bantuan 21 pegawai daripada Jabatan Pengurusan dan Urusan Mata Wang Bank Negara untuk melakukan pengiraan terhadap wang tunai yang dirampas itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman sebentar tadi.

Amar Singh juga memaklumkan semua rampasan melibatkan pemeriksaan di 12 lokasi adalah berkaitan siasatan kes 1MDB.

Mengulas mengenai baki 37 beg lagi yang dirampas, Amar Singh berkata, nilai barang kemas dan jam tangan yang terkandung di dalam beg tersebut masih belum dapat dipastikan.

Katanya, pihaknya telah berjumpa beberapa pakar untuk mengesahkan nilai barang kemas dan jam tangan terbabit.

"Jumlah akan dimaklumkan kemudian selepas penilaian dilakukan pakar pada Isnin depan," katanya.

Sementara itu, Amar turut menafikan semua gambar beg tangan, jam tangan dan wang tunai yang tular di media sosial dan disiarkan di media cetak sebelum ini adalah palsu.

"Kesemua gambar itu palsu dan tidak dibenar. Tiada gambar diambil menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan kita. Gambar hanya diambil jurugambar bertaulih D6 Bukit Aman menggunakan kamera PDRM," katanya.

Ditanya pengalaman beliau dalam operasi jenayah komersial jika dikaitkan dengan kes berkenaan di mana wang tunai dan barangan mewah dirampas dalam sebuah premis, Amar Singh berkata: "Ini kes pertama seumpamanya."

PDRM, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain