suria

"Apa peranan Mavcom, dua tahun operasi duit dah habis"

PETALING JAYA: Selepas pengumuman pembubaran Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kini timbul tanda tanya mengenai kedudukan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Netizen mula mempersoalkan peranan dan kepentingan Mavcom kerana didakwa tidak membawa impak yang signifikan kepada negara.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl (gambar) menggesa kementerian pengangkutan supaya meyemak fungsi Mavcom dan mencadangkan agar ia juga dibubarkan.

"Sehingga kini saya tertanya-tanya apa peranan Mavcom, mereka dakwa telah buat banyak kerja.

"Mavcom ni dapat dana daripada pentadbiran sebelum ini dan selepas dua tahun beroperasi, duit dah habis," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Tambah Ajit, Mavcom turut gagal mengawal Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) sehingga membebankan pengguna.

Sebelum ini media melaporkan, Mavcom mengumumkan semakan semula PSC bagi destinasi penerbangan antarabangsa selain Asean di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang dinaikkan kepada RM73 daripada RM50 bermula 1 Januari 2018.

Menurut Ajit, kegagalan Mavcom mencari jalan untuk mampan (sustainability) adalah suatu perkara yang memalukan dan pembaziran dana awam.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun masih terlalu awal untuk menilai prestasi menteri pengangkutan baharu Anthony Loke Siew Fook, Ajit berasa menteri tersebut berada di landasan yang betul.

"Kami berharap akan ada kerjasama lanjut antara Kementerian Pengangkutan dengan badan bukan kerajaan yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat," katanya.

Mavcom

Artikel Lain