suria

Kenyataan kerajaan Pusat bukan penentu pasaran kewangan

PETALING JAYA: Jangkaan mengenai turun naik pasaran negara tidak boleh dikenal pasti berdasarkan satu kenyataan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kewangan.

Lim Guan Eng berkata, masanya sudah tiba untuk kerajaan menunjukkan fakta sebenar berhubung perkara itu.

"Benarkan kami memberitahu perkara sebenar bukan sahaja kepada rakyat, tapi kepada pasaran kewangan.

"Jangan biarkan mereka tertipu lagi. Kita perlu bercakap benar kepada kuasa dan pada masa sama biarkan kuasa bercakap tentang kebenaran kepada rakyat," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tindakan kerajaan mengumumkan hutang negara lebih tinggi dari angka rasmi telah mengejutkan pasaran kewangan.

Dalam pada itu, The Star melaporkan, Guan Eng turut memperincikan tentang bagaimana angka hutang negara berjumlah RM1 trilion dikira.

Hutang tersebut meliputi jaminan kerajaan dan bayaran pajakan untuk perkongsian awam-swasta (PPP).

"Nilai rasmi hutang kerajaan Pusat adalah RM686.8bil (50.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK)).

"Sebagai tambahan, kerajaan telah komited untuk membayar jaminan kerajaan bagi beberapa entiti yang gagal membayar hutang mereka.

"Nilai ini berjumlahRM199.1 bilion (14.6 peratus KDNK)," kata beliau.

Tambah beliau, jaminan kerajaan itu adalah untuk entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 bilion) dan RM38 bilion pula bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Berdasarkan dua perkara di atas, hutang negara adalah RM885.9 bilion atau 65.4 peratus KDNK," katanya.

Manakala bayaran pajakan untuk projek PPP seperti pembinaan sekolah, jalan, hospital dan stesen polis pula berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus KDNK).

"Oleh itu, hutang dan liabiliti kerajaan Pusat bernilai RM1,087.3 bilion atau 80.3 peratus KDNK setakat 31 Disember 2017," ujar Guan Eng.

Lim Guan Eng

Artikel Lain