suria

Pihak peguam cadang kes rasuah Guan Eng digugurkan

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula perbicaraan rasuah bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Menurut peguamnya, Ramkarpal Singh, mereka akan memfailkan representasi kes itu kepada Peguam Negara yang baharu, selain turut mencadangkan dakwaan terhadap Guan Eng digugurkan.

"Kami berharap Peguam Negara akan mempertimbangkan representasi itu secara adil.

"Tetapi jika ianya (representasi) ditolak, kami akan bersedia untuk meneruskan caj, tidak ada masalah, katanya ketika ditemui The Star pada Isnin.

Perbicaraan itu sepatutnya bermula pada Isnin, namun ditangguhkan selepas tertuduh mengemukakan representasi baru dengan peguam negara baru, menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Pulau Pinang, rasuah

Artikel Lain